Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita Terkini

SUNG NIO JATI LI MUKIM TELISAI

Sung Nio Jati Li Mukim Telisai Ver 2.png

TUTONG, 2 FEBRUARI 2025 - Majlis Perundingan Mukim Telisai dengan kerjasama Majlis -majlis Perundingan Kampung di bawah Mukim Telisai awal pagi tadi mengadakan acara-acara keluarga dan komuniti iaitu 'Sung Nio Jati Li Mukim Telisai' yang berlangsung di Kawasan Lapang Berdekatan Masjid Rancangan Perumahan Negara Bukit Beruang.

 'Sung Nio Jati Li Mukim Telisai' membawa erti 'Maritah kitani ke Mukim Telisai'. Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.

Juga hadir, Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Mohammad Sofian bin Haji Basri; Setiausaha Tetap (Perbandaran dan Daerah) Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Awang Abdul Walid bin Haji Matassan; penghulu dan ketua-ketua Kampung Daerah Tutong.

Aktiviti-aktiviti yang diadakan ialah seperti pemanasan badan selama 10 minit dan diteruskan dengan riadah berbasikal sejauh 26 kilometer bermula dan berakhir di Jalan Tibadak.

Juga diadakan, acara berjalan kaki santai sejauh 3 kilometer. Selain itu, dalam memberi peluang kepada penduduk kampung dan Mukim Telisai bagi meningkatkan lagi perekonomian mereka, Gerai Jualan Sukan Ria juga diadakan sepanjang acara tersebut. Di sebelah petang pula, diadakan aktiviti sukan ria, permainan layang-layang dan sebagainya.

Antara lain tujuan acara tersebut diadakan adalah bagi memupuk semangat kekeluargaan dengan aktiviti sihat dalam kalangan penduduk mukim, di samping dapat menyatupadukan penduduk mukim melalui perhimpunan yang diadakan serta memberi peluang kepada penduduk mukim mengikuti aktiviti-aktiviti sukan, riadah dan jualan.

Created at 03/02/2025 12:17 by Hj Astri Azrin Bin Hj Andy Azhar
Last modified at 03/02/2025 12:17 by Hj Astri Azrin Bin Hj Andy Azhar