TUTONG, 10 Mac 2025 – Majlis Penyampaian Derma Anak-Anak Yatim Daerah Tutong diadakan pada hari Isnin, 9 Ramadhan 1446H bersamaan 10 Mac 2025M bertempat di Dewan Seri Kenangan, Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Daerah Tutong.
Hadir selaku Tetamu Kehormat di majlis tersebut ialah Awang Mohammad Sofian bin Haji Basri, Pemangku Pegawai Daerah Tutong.
Majlis dimulakan dengan bacaan Ayat-Ayat Suci Al-Quran Surah An-Nisa ayat 36 oleh Dayang Nur Damia Faqihah binti Mohamad Aji, penuntut Sekolah Ugama Tutong Kem dan seterusnya tafsiran ayat oleh Ustazah Hajah Noorlaila binti Haji Metussin, Guru Sekolah Ugama Tutong Kem.
Seramai 510 orang anak-anak yatim yang berusia 18 tahun kebawah dari Daerah Tutong yang telah berdaftar dengan Jabatan Pembangunan Masyarakat menerima sumbangan derma melalui Tabung Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, Tabung Kebajikan Anak-Anak Yatim Daerah Tutong dan Bank Islam Brunei Darussalam.
Sumbangan derma ini antara lain bertujuan untuk menampung perbelanjaan anak-anak yatim bagi menyambut ketibaan Hari Raya Aidil Fitri yang akan menjelang tiba.
Majlis tersebut juga diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada tiga orang penuntut anak yatim yang mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Sekolah-Sekolah Rendah Ugama (SSSRU) bagi tahun 2024 dan dua orang Pelajar Cemerlang di dalam Peperiksaan Peringkat ‘A’ Level, ‘O’ Level/IGCSE bagi tahun 2024 Bagi Kluster 5, Tutong.
Turut hadir di majlis tersebut ialah Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan, Penghulu-Penghulu Mukim, Pemangku-Pemangku Penghulu Mukim, Ketua-Ketua Kampung dan Pemangku-Pemangku Ketua Kampung Daerah Tutong.