TUTONG, 13 MAC 2025 - Masjid
Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong
menjadi tumpuan bagi Majlis
Pelancaran Memulakan Bacaan
Ayat-ayat Suci Al-Quran bagi Majlis
Khatam Al-Quran 79 Kali Khatam
Ahli-ahli Majlis Perundingan
Mukim dan Kampung (MPMK),
Penuntut-penuntut Sekolah dan
Institusi-institusi Pengajian Tinggi
Seluruh Negara sempena
Sambutan Perayaan Ulang Tahun
Keputeraan Kebawah Duli Yang
Maha Mulia Paduka Seri Baginda
Sultan Haji Hassanal Bolkiah
Mu'izzaddin Waddaulah ibni
Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali
Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien,
Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara
Brunei Darussalam yang Ke-79
bagi Tahun 2025 bagi Daerah
Tutong.
Majlis Khatam Al-Quran 79 Kali
Khatam yang diadakan serentak
di keempat-empat buah daerah ini
adalah sebagai menzahirkan
kesyukuran rakyat dan penduduk
negara ini kepada Allah Subhanahu
Wata'ala di atas limpah rahmat
dan nikmat-Nya jua menjadikan
Negara Brunei Darussalam di
bawah kepimpinan yang bijaksana
Kebawah Duli Yang Maha Mulia
Paduka Seri Baginda Sultan Haji
Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin
Waddaulah, Sultan dan Yang
Di-Pertuan Negara Brunei
Darussalam sentiasa berada dalam
keadaan aman dan sejahtera, di
samping memohon doa ke hadrat
Allah Subhanahu Wata'ala semoga
Kebawah Duli Yang Maha Mulia
Paduka Seri Baginda Sultan dan
Yang Di-Pertuan Negara Brunei
Darussalam dilanjutkan usia,
sihat walafiat serta mendapat taufik
dan hidayah serta inayah daripada
Allah Subhanahu Wata'ala.
Hadir selaku tetamu kehormat
pada majlis tersebut ialah Menteri
Sumber-Sumber Utama dan
Pelancongan, Yang Berhormat
Dato Seri Setia Dr. Awang Haji
Abdul Manaf bin Haji Metussin.
Majlis yang bermula selepas
menunaikan Sembahyang Fardu
Zuhur Berjemaah itu didahului
dengan bacaan Surah Al-Fatihah
beramai-ramai dipimpin oleh Imam
Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan
Tutong, Awang Sahibul Omar bin
Haji Mohd. Yusof dan seterusnya
pembacaan ayat-ayat suci
Al-Quran bermula daripada Juz
Pertama oleh seramai 400 peserta
yang terdiri daripada Ahli-ahli
MPMK, penuntut-penuntut sekolah
dan institusi-institusi pengajian
tinggi di Daerah Tutong mengikut
Kategori Dewasa Lelaki, Dewasa
Wanita, Belia dan Beliawanis
(berumur 13 tahun hingga 20
tahun) yang terpilih dan mewakili
mukim dan kampung.
Para peserta juga termasuk
penuntut-penuntut Institut Tahfiz
Al-Quran Sultan Haji Hassanal
Bolkiah, Sekolah Arab dan Skim
Tilawah Al-Quran Remaja dan
kanak-kanak lelaki dan perempuan
yang berumur 12 tahun ke bawah
yang mewakili sekolah-sekolah
Arab, sekolah-sekolah ugama dan
Skim Khatam Al-Quran di bawah
umur 10 tahun serta
penuntut-penuntut sekolah di
bawah Kementerian Pendidikan
dan institusi-institusi pengajian
tinggi.
Bagi memberkati majlis, Doa
Peliharakan Sultan dan Negara
Brunei Darussalam dipimpin oleh
Ketua Imam Masjid berkenaan,
Awang Mohd. Waiz bin
Tajuddin.
Turut hadir,Setiausaha Tetap,
Timbalan Setiausaha Tetap,
ketua-ketua jabatan, pemangku
pegawai daerah dan Ahli-ahli
Jawatankuasa Kerja Perayaan
Ulang Tahun Hari Keputeraan
Kebawah Duli Yang Maha
Mulia yang Ke-79 bagi
Tahun 2025, penghulu-penghulu
mukim, ketua-ketua kampung,
pemangku-pemangku penghulu
mukim, pemangku-pemangku
ketua-ketua kampung, Ahli-ahli
MPMK serta pegawai-pegawai
dan kakitangan jabatan-jabatan
daerah, pegawai-pegawai hal
ehwal masjid, ahli-ahli takmir
masjid dan anak-anak buah
kampung.