TUTONG, 3 MEI 2025 – Mesyuarat Jawatankuasa Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-79 bagi Daerah Tutong, Tahun 1446H/2025M diadakan pada hari Sabtu, 5 Zulkaedah 1446 bersamaan 3 Mei 2025 bertempat di Dewan Utama, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong.
Mesyuarat dipengerusikan oleh Yang Mulia, Awang Mohammad Sofian bin Haji Basri, Pemangku Pegawai Daerah Tutong.
Mesyuarat didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang diketuai oleh Yang Mulia Awang Nor Affindy bin Norsabah, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Daerah Tutong.
Antara agenda mesyuarat tersebut ialah membincangkan mengenai persediaan acara-acara rasmi sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-79 bagi Daerah Tutong, Tahun 1446H/2025M.
Mesyuarat juga membincangkan mengenai cadangan acara-acara sektoral termasuk acara-acara keagamaan, kemasyarakatan dan kesukanan serta Majlis Pemantauan Bacaan Ayat-Ayat Suci Al-Quran Majlis Khatam Al-Quran 79 kali Khatam bagi Ahli-Ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung, Penuntut-Penuntut Institusi-Institusi Pengajian Tinggi dan Sekolah-Sekolah Menengah seluruh Negara.
Antara tujuan lain mesyuarat tersebut diadakan adalah bagi melantik ahli-ahli Jawatankuasa Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-79 bagi Daerah Tutong Tahun 1446H/2025M.
Hadir sama di mesyuarat tersebut ialah Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Pegawai-Pegawai Kanan Jabatan Kerajaan Cawangan Daerah Tutong, Ahli-Ahli Jawatankuasa Sambutan Perayaan serta Penghulu-Penghulu Mukim dan Ketua-Ketua Kampung Daerah Tutong.