TUTONG, 4 Mei 2025 - Kejohanan Tarik Kalat Dan Piala Rebutan Sempena Majlis Panakod Adau Gayoh bagi tahun 2025 anjuran bersama Pakatan Sang Jati Dusun (PSJD) dan Pasukan Tutong Tuggers telah diadakan di kawasan dewan PSJD Kampung Padang, Bukit Udal Tutong.
Hanya satu kategori yang dipertandingkan iaitu Kategori Terbuka Lelaki dengan berat terkumpul 8 orang penarik iaitu 680kg dan 2 orang simpanan. 12 pasukan telah menyertai pertandingan tersebut yang mana keseluruhan peserta adalah terdiri dari warga tempatan.
Acara saringan tarik kalat diadakan pada sebelah pagi yang dilancarkan oleh Tetamu Kehormat majlis iaitu Yang Berhormat Dayang Quinee Chong Chin Yee, Ahli Majlis Mesyuarat Negara.
Manakala pertandingan akhir diadakan pada sebelah petang dihadiri oleh Yang Mulia Awang Mohammad Sofian bin Haji Basri, Pemangku Pegawai Daerah Tutong selaku Tetamu Kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah-hadiah kepada pemenang pertandingan tersebut.
Muncul juara kategori Dewasa Berat 680kg ialah Pasukan ONE X ONE sementara naib johan disandang oleh Pasukan LUNTAU BORNEO manakala di tempat ketiga ialah Pasukan MS ABDB 'B' dan di tempat keempat oleh Pasukan MS ABDB 'A'.
Antara tujuan perlawanan ini diadakan adalah untuk memperkenalkan acara sukan dikalangan generasi baru dan penduduk kampung. Dan juga melibatkan dan pendedahan awal para belia kepada masyarakat serta mengumpulkan para belia dalam aktiviti kampung.
Turut hadir di acara berkenaan ialah Penghulu-Penghulu Mukim dan Ketua-Ketua Kampung Daerah Tutong serta penduduk kampung di sekitarnya.