Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita Terkini

MAJLIS PELANCARAN 'SENJA KOPI'

Majlis Pelancaran Senja Kopi.png

​TUTONG, 10 MEI 2025 - Sebuah lokasi santai terbaharu yang dikenali sebagai Kafe Senja Kopi Sungai Tutong telah dilancarkan bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk berehat sambil menikmati hidangan dan kopi dalam suasana tenang pemandangan Pekan Tutong pada waktu senja. 

Majlis pelancaran kafe yang terletak di aras atas Pasar Malam Tutong itu disempurnakan oleh tetamu kehormat, Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Mohammad Sofian bin Haji Basri.

Menurut Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) merangkap Ketua Kampung Sengkarai, Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan, yang juga antara pencetus utama penubuhan kafe tersebut, penubuhan Senja Kopi bukan sekadar menyediakan tempat untuk menikmati minuman dan makanan, tetapi turut menjadi platform menjana peluang pekerjaan bagi golongan belia tempatan khususnya di Daerah Tutong.

Beliau turut menjelaskan bahawa pemilihan konsep ruang terbuka bertujuan mencipta suasana santai dan lapang, membolehkan pengunjung menikmati udara segar sambil menyaksikan keindahan senja serta panorama Sungai Tutong dan kawasan sekitar pekan yang damai dan menenangkan.

Setakat ini, kafe itu beroperasi setiap Sabtu dan Ahad dari pukul 5 petang hingga 11:30 malam. Orang ramai dialu-alukan untuk datang bersama ahli keluarga dan sahabat handai, bahkan digalakkan membawa kerusi sendiri untuk bersantai sambil menikmati suasana healing.​

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Setiausaha Lembaga Bandaran, Jabatan Bandaran Tutong, Pengiran Mahdini bin Pengiran Haji Ali; pegawai dan kakitangan kerajaan, para belia dan beliawanis Daerah Tutong, pempengaruh media sosial serta orang awam.





Created at 12/05/2025 14:18 by astri.andy
Last modified at 12/05/2025 14:18 by astri.andy