TUTONG, 11 MEI 2025 - Sukan bola sepak tidak hanya dipelopori generasi muda, sukan ini juga turut menarik perhatian warga veteran berusia 45 hingga 55 tahun ke atas untuk menyertai Kejohanan Bolasepak 9 Orang Sepasukan Veteran VFA Kali Ke-4 2025 anjuran Persatuan Bolasepak Veteran (VFA) yang berlangsung, di Padang Kompleks Sukan Tutong.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Mohammad Sofian bin Haji Basri.
Perlawanan akhir Kejohanan Bolasepak 9 Orang Sepasukan Veteran menyaksikan PSJD 1 berjaya menewaskan Mumtaz Veteran FT dengan keputusan 1-0 menerusi jaringan daripada Awang Mohd. Khairul Azman bin Abdullah.
Terdahulu sebelum perlawanan akhir diadakan, dua perlawanan separuh akhir mengambil tempat yang menyaksikan kemenangan bagi PSJD 1 ketika menentang PSJD 2 yang berkesudahan 1-0.
Sementara, perlawanan separuh akhir kedua pula menyaksikan Mumtaz Veteran FT menewaskan Gemilang Veteran (GV) dengan mata 1-0, dan sekali gus melayakkan PSJD 1 dan Mumtaz Veteran FT berentap di perlawanan akhir.
Tetamu kehormat juga turut menyempurnakan penyampaian hadiah kepada Penjaring Terbanyak yang diberikan kepada pemain PSJD 1, Awang Mohd. Khairul Azman bin Abdulllah; Pemain Terbaik kepada Awang Shahrin bin Momin dari Mumtaz Veteran FT; dan Penjaga Gawang Terbaik diberikan kepada Awang Alizanda bin Sitom dari PSJD 1.
PSJD 1 selaku Juara bagi Kejohanan Bolasepak 9 Orang Sepasukan Veteran VFA Kali Ke-4 2025 berjaya membawa pulang wang tunai BND800 berserta Piala Rebutan dan Piala Iringan.
Sementara Naib Johan iaitu Mumtaz Veteran FT menerima BND500 berserta Piala Iringan dan tempat Ketiga Bersama jatuh kepada PSJD 2 dan GV yang masing-masing membawa pulang wang tunai BND250 berserta Piala Iringan.