TUTONG, 22 JUN 2025 – Dengan hasrat untuk mewujudkan kesedaran dan peluang kepada golongan generasi muda di negara ini untuk sentiasa bergiat aktif dalam mempertahankan budaya kampung sekali gus menyemarakkan lagi kehidupan bermasyarakat, sehubungan itu Majlis Perundingan Kampung (MPK) Kiudang dan Pad Nunok Daerah Tutong telah mengungkayahkan Pertandingan Tarik Kalat Bersempena Sambutan Adau Gayoh 2025.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi sama-sama menyaksikan pertandingan yang diadakan di padang Sekolah Chung Hwa Kiudang itu ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri yang dialu-alukan oleh Ketua Kampung Kiudang dan Pad Nunok, Awang Muhammad Rifaie bin Haji Abdul Rahim.
Pertandingan dibahagikan kepada dua kategori, Kategori A iaitu lightweight terdiri daripada sepasukan lapan orang peserta yang mempunyai berat terkumpul tidak melebihi 560 kilogram (kg); dan Kategori B iaitu heavyweight terdiri daripada sepasukan lapan orang dengan mempunyai berat terkumpul tidak melebihi 680kg.
Pemenang-pemenang bagi Kategori A dirangkul oleh Pasukan MS ABDB di tempat pertama, Pasukan Bros Extreme di tempat kedua, Pasukan MS Bukit Panggal di tempat ketiga dan Pasukan Bukit Beruang Puller di tempat keempat.
Manakala bagi Kategori B, juara disandang oleh Pasukan MS ABDB, diikuti dengan Pasukan Mg5 Max di tempat kedua, Pasukan Bear Hill Tuggers di tempat ketiga dan Pasukan Tebuan Tugger di tempat keempat.
Turut hadir ialah Penghulu Mukim Kiudang dan Mukim Lamunin; Ketua Kampung Lamunin; Ketua Kampung Bukit Udal dan Penapar; Ketua Kampung Bukit Panggal dan Luagan Duduk dan Pemangku Ketua Kampung Batang Mitus, Pengkalan Mau dan Bakiau serta masyarakat setempat dan juga luar daerah.