TUTONG, 19 JULAI 2025. - Majlis menandatangani perjanjian kontrak perkhidmatan pemotongan rumput antara Jabatan Daerah Tutong dan dua syarikat tempatan, iaitu Syarikat M.P.M. Telisai Services dan Syarikat Kerjasama Majlis Perundingan Kampung (MPK) Ukong, telah diadakan di Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Tutong.
Hadir menyaksikan majlis tersebut ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri.
Melalui perjanjian yang ditandatangani, Syarikat M.P.M. Telisai Services dilantik untuk melaksanakan kerja-kerja pemotongan rumput di kawasan Dewan Kemasyarakatan Kampung Bukit Beruang dan Gerai Mukim Telisai bagi tempoh dua tahun.
Sementara itu, Syarikat Kerjasama MPK Ukong pula dilantik untuk menjalankan kerja serupa di kawasan Perumahan Sungai Basong juga bagi tempoh dua tahun.
Kedua-dua syarikat ini merupakan yang pertama dalam kalangan Majlis Perundingan Mukim dan Kampung (MPMK) di Daerah Tutong yang diberi kepercayaan oleh Jabatan Daerah Tutong untuk melaksanakan kerja-kerja pemeliharaan aset jabatan secara kontrak.
Tenaga kerja yang dilibatkan adalah sepenuhnya terdiri daripada anak-anak buah kampung masing-masing, termasuk mereka yang kurang berkemampuan.
Inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada perancangan jangka panjang Jabatan Daerah Tutong untuk membuka peluang kepada MPMK menyertai tawaran sebutharga berkaitan pemeliharaan aset jabatan, di samping mempelopori projek perekonomian masyarakat. Ia diharap dapat menyediakan peluang pekerjaan dan sumber pendapatan kepada penduduk kampung melalui perkhidmatan yang mudah dilaksanakan.
abatan Daerah Tutong juga berharap lebih banyak MPMK akan menubuhkan syarikat-syarikat perniagaan dan seterusnya menyertai pelbagai tawaran projek yang disediakan sama ada oleh jabatan ini mahupun agensi-agensi kerajaan yang lain.
Majlis turut diselajurkan dengan penyampaian sijil insurans perlindungan pekerja sumbangan daripada Syarikat Niagamas Insurance Services Sdn. Bhd., serta penyerahan empat unit mesin pemotong rumput sumbangan Syarikat Artesian Fresh Sdn. Bhd. kepada Pengurus Syarikat Kerjasama MPK Ukong.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Penghulu-penghulu Mukim, Ketua-ketua Kampung Daerah Tutong serta pegawai-pegawai kanan Jabatan Daerah Tutong.