TUTONG, 19 JULAI 2025 -Majlis Perasmian Pembukaan Kafe Mumba Dai Kofe, yang terletak Kampung Lamunin, Tutong berlangsung dengan penuh meriah, baru-baru ini.
Majlis Pelancaran Kafe tersebut disempurnakan oleh Penolong Pegawai Daerah Tutong, Awangku Arif Anuar bin Pengiran Haji Ahmad yang juga hadir selaku tetamu kehormat majlis.
Turut hadir selaku tetamu khas ialah Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial@Tekpin bin Ya'akub, Penghulu Mukim Ukong dan Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan, Ketua Kampung Sengkarai.
Majlis turut dihadiri oleh Penghulu Mukim Lamunin, Awang Md. Jafaar bin Haji Tinggal; Ketua Kampung Lamunin, PW1 (B) Awang Saini bin Haji Othman; Ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung (MPK) Lamunin serta para penduduk Kampung Lamunin.
Nama unik kafe ini, Mumba Dai Kofe diilhamkan daripada dialek tempatan Tutong yang membawa maksud tersirat penuh budaya. Dalam dialek tersebut, 'Mumba' bermaksud minum, 'Dai' bermaksud 'tah', manakala 'Kofe' bermaksud kopi.
Nama ini bukan sahaja menyerlahkan identiti budaya tempatan, malah mencerminkan suasana mesra dan semangat kekampungan yang ingin ditonjolkan oleh pihak kafe.
Kafe ini diusahakan oleh Awang Mohd. Nur Hassanol Faaiz bin Md. Fadzillah Zamri, seorang ahli aktif Biro Belia MPK Lamunin. Ia telah memulakan operasinya lebih awal, iaitu sejak 17 Mac 2025 semasa bulan Ramadan, melalui Program Sahur Malam yang menerima sambutan positif daripada pelanggan.
Kafe ini kini menjadi lokasi tumpuan bukan sahaja kepada penduduk Kampung Lamunin dan Daerah Tutong, malah turut menarik pengunjung dari luar daerah seperti Daerah Brunei dan Muara serta Daerah Belait, yang gemar mencari tempat santai untuk menikmati kopi serta hidangan ringan.
Kewujudan kafe ini juga diyakini dapat memberi impak positif kepada masyarakat setempat. Ia memudahkan penduduk kampung mendapatkan makanan dan minuman tanpa perlu ke bandar, sekali gus menjimatkan masa dan kos perjalanan.
Dalam masa yang sama, ia menjadi pusat interaksi sosial komuniti, membuka peluang pekerjaan kepada belia kampung serta membantu meningkatkan ekonomi setempat. Kafe ini turut menyediakan platform bagi mempromosikan produk tempatan melalui menu yang ditawarkan.
Tetamu kehormat dan para tetamu khas berkesempatan meninjau ruang dalam kafe serta berbesar hati menandatangani sijil pembukaan rasmi.
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat, diteruskan dengan jamuan ringan, diiringi hidangan pelbagai jenis kopi daripada menu khas kafe tersebut.