Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita Terkini

PERTANDINGAN MEMASAK MASTERCHEF KAMPUNG

Masterchef Kampung 2025.jpeg

TUTONG, 17 OGOS 2025 - Majlis Perundingan Kampung (MPK) Tanjong Maya dan Lubok Pulau dengan kerjasama Biro Wanita Persatuan PEKLAP telah menganjurkan Pertandingan Memasak Masterchef Kampung, bertempat di Balai Raya Kampung Lubok Pulau.

Acara ini dianjurkan sebagai tanda menjunjung kasih dan memperingati Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-79 tahun.

Pertandingan ini diadakan bagi mencapai beberapa objektif utama, antaranya mengeratkan silaturahim antara penduduk kampung; meningkatkan kreativiti dan daya cipta dalam bidang kulinari; memartabatkan masakan tradisional sebagai warisan budaya bangsa; dan mewujudkan peluang keusahawanan kecil dalam komuniti setempat.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Penolong Pegawai Daerah Tutong, Awangku Arif bin Pengiran Haji Ahmad, dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang.

Turut hadir ialah Penghulu Mukim Tanjong Maya, penduduk kampung, ahli MPK, wakil-wakil agensi kerajaan, serta Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Pemenang pertandingan akan menerima hadiah serta sijil penyertaan, dan berpeluang untuk mengetengahkan hasil masakan mereka dalam inisiatif ekonomi kampung akan datang.

Acara turut diserikan dengan jamuan rakyat dan persembahan komuniti belia, menjadikannya lebih meriah dan inklusif.

MPK Tanjong Maya dan Lubok Pulau berharap agar pertandingan ini dapat dijadikan sebagai acara tahunan yang bukan sahaja memperkukuh semangat kekitaan, tetapi turut menyumbang kepada pembinaan komuniti kampung yang berdaya tahan, berpengetahuan dan bersatu padu, selaras dengan aspirasi negara.

​​

Created at 18/08/2025 15:01 by astri.andy
Last modified at 18/08/2025 15:03 by astri.andy