TUTONG, 31 Ogos 2025 – Jabatan Daerah Tutong dengan kerjasama Persatuan
Dart Kebangsaan Negara Brunei Darussalam serta disokong oleh Imagine Sdn Bhd telah
berjaya menganjurkan Kejohanan Dart Bergu Lelaki Terbuka Borneo 2025 yang berlangsung
selama tiga (3) hari berturut-turut bermula pada hari Jumaat, 29 Ogos 2025 hingga Ahad,
31 Ogos 2025 bertempat di Dewan Seri Kenangan dan Dewan Utama, Kompleks Dewan
Kemasyarakatan Tutong.
Hadir selaku Tetamu Kehormat di majlis perlawanan akhir dan penyampaian hadiah ialah
Yang Mulia Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan, Setiausaha
Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Sebanyak 107 pasukan telah menyertai kejohanan ini termasuk 13 pasukan dari
Sabah dan Sarawak. Penyertaan merangkumi pelbagai peringkat kemahiran, daripada
pemain amatur hingga profesional, sekaligus menjadikan kejohanan ini sebagai platform
pembangunan bakat serta pengiktirafan kepada pemain tempatan dalam arena sukan dart
serantau
Pasukan D’ Amazing KBT Silent Killer telah dinobatkan sebagai juara dengan membawa
pulang hadiah wang tunai sebanyak BND5,000.00, jumlah terbesar setakat ini bagi
kejohanan dart peringkat serantau, beserta piala dan pingat. Pasukan KGA Mission.Com
pula muncul sebagai naib juara dengan hadiah wang tunai BND3,000.00 beserta piala dan
pingat. Sementara itu, tempat ketiga bersama dimenangi oleh pasukan D' Amazing KBT
Koi Fish dan SJA ‘A’ Lawas, masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai
BND1,000.00 beserta piala dan pingat.
Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Tetamu Kehormat majlis. Penganjuran
kejohanan ini antara lain bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam
kalangan pemain dart di Negara Brunei Darussalam, di samping memperkenalkan sukan
dart ke arah yang lebih tersusun, berdisiplin serta profesional. Ia juga dihasratkan dapat
memajukan perkembangan sukan dart di negara ini serta menarik minat pelancong dan
pemain luar negara, khususnya dari rantau Borneo.
Selain itu, kejohanan ini turut memberi peluang untuk menjadikan Daerah Tutong sebagai
salah satu destinasi pelancongan pilihan bagi pengunjung dari dalam dan luar negara.
Bagi memeriahkan suasana, acara ini turut diserikan dengan penyertaan gerai
makanan dan minuman (F&B booths) serta food truck yang menawarkan pelbagai
pilihan hidangan kepada para pengunjung sepanjang kejohanan berlangsung.
Dengan sokongan dan kerjasama pelbagai pihak, kejohanan ini telah berlangsung dengan
jayanya serta diyakini memberikan impak positif kepada pembangunan sukan, khususnya
sukan dart, di Negara Brunei Darussalam.
Turut hadir menyaksikan perlawanan akhir dan majlis penyampaian hadiah ialah Yang
Mulia Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri, Pemangku Pegawai Daerah Tutong;
Yang Mulia Awang Allen On Hsein Yung, Pengarah dan Pemangku Ketua Pegawai
Eksekutif, Imagine Sdn Bhd;Yang Mulia Awang Haji Mohd Radziman bin Haji Abdul
Rahman, Naib Presiden Kanan, Imagine Sdn Bhd; Penghulu Mukim dan Ketua Kampung
Daerah Tutong serta jemputan khas.