TUTONG, 6 SEPTEMBER 2025 - Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam Peringkat Daerah Tutong diadakan pagi tadi, bertempat di kawasan lapang Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong.
Hadir selaku tetamu khas majlis, Menteri Sumber-Sumber Utama Dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan persembahan Dikir Marhaban beramai-ramai dari Bahagian Pengajian Islam yang diketuai oleh Awang Sirajul Aidil bin Haji Mohd. Yusof.
Manakala, bacaan Sayyidul Istighfar dan Doa Selamat oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Skim Perantisan Perkhidmatan Awam (SkiPPA), Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong, Awang Abdul Hafiz bin Haji Abd. Kadiroshman.
Sementara itu, laungan Selawat diketuai oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, SkiPPA, Masjid Pengiran Anak Haji Mohamed Alam, Kampung Sengkarai, Awang Adi Hassanal bin Mohd Haidi.
Perarakan telah didahului oleh tetamu khas majlis bersama Ahli Jawatankuasa Kerja Sambutan Peringkat Daerah Tutong dan diiringi Selawat oleh Kumpulan Dikir sejauh 1.4 kilometer.
Perarakan berakhir dan berkumpul semula di kawasan lapang berhadapan Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Daerah Tutong.
Penyertaan Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam Peringkat Daerah Tutong kali ini melibatkan sebanyak 37 buah pasukan.
Para peserta terdiri daripada tiga pasukan beruniform dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) seramai 591 ahli, Pasukan Polis Diraja Brunei seramai 66 ahli, serta Jabatan Bomba dan Penyelamat seramai 58 ahli.
Manakala daripada jabatan-jabatan kerajaan sebanyak lima buah pasukan; daripada sekolah-sekolah sebanyak lima buah pasukan; masjid-masjid Daerah Tutong sebanyak 24 buah pasukan dan persatuan sebanyak tiga buah pasukan menjadikan jumlah keseluruhan peserta seramai 2,281 orang.
Turut hadir sama pada majlis berkenaan ialah Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Penghulu-penghulu Mukim dan Ketua-ketua Kampung, Ahli Jawatankuasa Kerja Sambutan Peringkat Daerah Tutong, para peserta pasukan perarakan dan para jemputan.