TUTONG, 6 SEPTEMBER 2025 - Bersempena dengan Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, Majlis Perhimpunan Khas Wanita telah berlangsung di Dewan Ma'had Islam Brunei, Daerah Tutong.
Hadir selaku tetamu khas majlis, isteri Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Dayang Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab; Timbalan Setiausaha Tetap II, KSSUP, Dayang Noralinda binti Haji Ibrahim; dan isteri Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Dayang Rahayu binti Haji Abdul Rahman.
Majlis diisikan dengan penyampaian Ceramah Khas bertajuk 'Bagaimana Membina Keluarga Mengikut acuan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam' yang disampaikan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah (PDI), Dayang Norhayati binti Haji Abd. Rahman.
Dayang Norhayati dalam ceramahnya menjelaskan bagi mewujudkan keluarga bahagia, haruslah mengikut acuan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang merupakan insan terpilih yang menjadi utusan Allah Subhanahu Wata'ala.
Beliau seterusnya berkata bahawa perutusan Baginda mencakup seluruh alam dan zaman di mana setiap ajaran yang dibawa, disampaikan dan ditunjukkan oleh Baginda melalui akhlaknya adalah tetap relevan dan sesuai dipraktikkan oleh kita semua pada zaman moden sekarang ini dan sehingga bila-bila.
Kemuncak acara Majlis Perhimpunan khas Wanita berkenaan diserikan lagi dengan persembahan Dikir Marhaban beramai-ramai daripada guru-guru besar dan guru-guru sekolah ugama Daerah Tutong.
Para jemputan yang hadir pada majlis berkenaan terdiri daripada Muslimah-muslimah Masjid Daerah Tutong, ketua-ketua jabatan, isteri Penghulu Mukim dan Ketua-ketua Kampung dan guru-guru ugama Daerah Tutong, ahli persatuan dan pertubuhan awam Daerah Tutong, warga emas serta penduduk mukim dan kampung di Daerah Tutong menjadikan jumlah keseluruhan peserta seramai 500 orang.