Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita Terkini

KAYUHAN SANTAI BERBASIKAL

Kayuhan Santai Berbasikal Keputeraan 2025.JPG

TUTONG, AHAD, 21 SEPTEMBER 2025 – Bagi menyemarakkan lagi Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-79 Tahun, satu Acara Kayuhan Santai Berbasikal telah berjaya dianjurkan di Daerah Tutong.

Acara ini dianjurkan oleh Majlis Perundingan Mukim Pekan Tutong dengan kerjasama Jabatan Daerah Tutong serta Pasukan Penggemar Basikal Daerah Tutong.

Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahamaddin bin Haji Abdul Rahman, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, yang seterusnya menyempurnakan pelancaran kayuhan.

Penganjuran kayuhan ini bukan sahaja bertujuan memperingati dan menyemarakkan sambutan hari keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, malah turut menjadi wadah untuk memupuk semangat kekeluargaan, menggalakkan gaya hidup sihat dan mencerminkan kecintaan masyarakat terhadap sukan berbasikal. Selain penyertaan dari dalam negara, acara ini juga mendapat sambutan daripada peserta luar negara yang datang khas dari Wilayah Persekutuan Labuan dan Semenanjung Malaysia, sekali gus menggambarkan hubungan erat dan sokongan berterusan antara komuniti serantau.

Acara ini dibahagikan kepada dua kategori. Kayuhan santai bersama tetamu kehormat melibatkan jarak antara 7 hingga 14 kilometer bermula dari Dewan Seri Kenangan Tutong menuju ke Pantai Seri Kenangan Kampung Sengkarai. Manakala kayuhan jarak jauh sejauh 43 kilometer bermula dari Dewan Seri Kenangan menuju ke Kampung Bukit Beruang, berpatah balik melalui jambatan Penanjong dan berakhir di hadapan Dewan Seri Kenangan Tutong.

Sambutan yang diterima amat menggalakkan dengan penyertaan seramai 70 orang peserta bagi kategori jarak jauh yang terdiri daripada penggemar sukan berbasikal dalam dan luar negara. Majlis Perundingan Mukim Pekan Tutong menzahirkan harapan agar penganjuran kayuhan seumpama ini dapat diteruskan di masa hadapan sebagai salah satu platform yang menyatukan masyarakat, menggalakkan gaya hidup sihat serta memperkukuhkan semangat kenegaraan.


Created at 21/09/2025 12:14 by astri.andy
Last modified at 21/09/2025 12:14 by astri.andy