TUTONG, KHAMIS, 16 OKTOBER 2025 – Hari Kesihatan Mental Sedunia yang disambut setiap tahun pada 10 Oktober merupakan inisiatif global untuk meningkatkan kesedaran mengenai isu kesihatan mental dan kesejahteraan emosi. Dalam persekitaran hospital, aspek kesihatan mental amat penting kerana para pesakit dan petugas kesihatan sering berhadapan dengan tekanan fizikal, emosi dan psikologi. Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah (PMMPMHAMB), Tutong telah mengadakan sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2025 bertempat di Bangunan National Isolation Centre Extension (NICe), Hospital PMMPMHAMB Tutong pagi tadi. Sambutan tahun ini membawa tema “Akses kepada Perkhidmatan Kesihatan Mental Ketika Menghadapi Musibah dan Kecemasan”, selaras dengan tema global bagi tahun 2025.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Mulia Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri, Pemangku Pegawai Daerah Tutong.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Yang Mulia Ustaz Awangku Muhammad Hafiz bin Pengiran Haji Rusnan, Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat II (SkiPPA Keugamaan), diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Yang Mulia Dayang Hajah Siti Hasrainah binti Haji Md Hassan, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Tingkat I, Hospital PMMPMHAMB Tutong.
Sebagai pengisian utama majlis, satu forum bertajuk “Kesedaran Kesihatan Mental dalam Perspektif Perubatan dan Islam” telah diadakan yang mengetengahkan kepentingan keseimbangan antara kesihatan fizikal, mental dan spiritual dalam menghadapi tekanan hidup.
Sebagai pengisian utama majlis, satu forum bertajuk “Kesedaran Kesihatan Mental dalam Perspektif Perubatan dan Islam” telah diadakan yang mengetengahkan kepentingan keseimbangan antara kesihatan fizikal, mental dan spiritual dalam menghadapi tekanan hidup. Forum tersebut menampilkan tiga ahli panel jemputan, iaitu dua orang daripada Pusat Dakwah Islamiah, Yang Mulia Ustaz Awang Muhammad Yusri bin Haji Abdul Majid dan Yang Mulia Ustaz Awang Abdul Khaliq bin Awak serta Yang Mulia Pengiran Dr. Hajah Fariza Suryani binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani, Ketua Perkhidmatan Psikiatri, Kementerian Kesihatan. Moderator forum ialah Ustazah Hajah Nur Hazimah binti Haji Mohd Yassin, Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat II (SkiPPA Keugamaan).
Para peserta juga berpeluang menyaksikan pameran Hari Kesihatan Mental Sedunia yang memaparkan maklumat dan sumber sokongan berkaitan kesihatan mental serta perkhidmatan yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan.