TUTONG, ISNIN, 20 OKTOBER 2025 – Majlis Khatam Al-Quran bagi Klinik Al-Quran Wanita, Pusat Kegiatan Warga Emas Daerah Tutong telah berlangsung di Dewan Pusat Kegiatan Warga Emas Daerah Tutong.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Mulia Dayang Hajah Rahayu binti Haji Abdul Rahman, Isteri Pemangku Pegawai Daerah Tutong.
Kelas Bimbingan Al-Quran di pusat ini telah dijalankan secara berterusan sejak tahun 2021 hingga 2025. Sebelum itu, dari tahun 2018 hingga 2020, kelas berkenaan dilaksanakan secara berkala serta dalam talian melalui platform Google Meet semasa negara dilanda pandemik COVID-19. Seramai 16 orang peserta telah menyertai majlis khatam berkenaan.
Penganjuran majlis ini bertujuan untuk terus menyokong dan menggalakkan pelaksanaan kelas bimbingan Klinik Al-Quran agar dapat diteruskan sebagai amalan harian dan amal jariah dalam kalangan ahli pusat. Ia juga sejajar dengan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai Negara Zikir.
Selain itu, majlis berkenaan turut menjadi dorongan dan motivasi kepada ahli-ahli pusat khasnya serta masyarakat amnya untuk menjadi pencinta Al-Quran, sekali gus menjadikan Al-Quran sebagai panduan dalam menjalani kehidupan di dunia dan di akhirat berlandaskan ajaran serta petunjuk kalamullah.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh tetamu kehormat majlis, diikuti dengan bacaan surah-surah khatam oleh peserta, serta bacaan Takhtim dan Doa Khatam Al-Quran. Seterusnya, penyampaian sijil kepada para peserta telah disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis. Acara diakhiri dengan sesi bergambar ramai sebagai kenangan penutup majlis.
Majlis seumpama ini diharap dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai wadah pengukuhan ilmu, penghayatan Al-Quran serta mengeratkan ukhuwah dalam kalangan warga emas di Daerah Tutong.