TUTONG, AHAD, 2 NOVEMBER 2025 - Bersempena 30 tahun penubuhan rasmi Masjid Kampung Bukit Udal, Tutong, Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Bukit Udal telah menganjurkan Acara Riadah Amal Berbasikal yang bermula dan berakhir di perkarangan masjid berkenaan, pagi tadi.
Hadir selaku tetamu khas majlis dan seterusnya berkesudian mengetuai Acara Riadah Amal Berbasikal sejauh 6 kilometer berkenaan ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri.
Juga hadir sama bagi menyertai acara riadah amal berbasikal berkenaan ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial@Tekpin bin Ya'akub, selaku Penghulu Mukim Ukong.
Acara terlebih dahulu dimulakan dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Ketua Imam Masjid Kampung Bukit Udal, Tutong, Awang Alimin bin Ismail selaku pengerusi majlis acara berkenaan sebelum diteruskan dengan penyerahan sumbangan seangkat hati untuk Tabung Masjid Kampung Bukit Udal, Tutong.
Sebelum pelepasan riadah berbasikal disempurnakan, seramai 60 peserta acara berkenaan terlebih dahulu melakukan senaman pemanasan badan dan doa selamat.
Masjid Kampung Bukit Udal, Tutong genap berusia 30 tahun sejak ia dibuka rasmi pada 1 November 1995 Masihi bersamaan 8 Jamadilakhir 1416 Hijrah. Penganjuran acara hari ini diharapkan dapat mengeratkan lagi perpaduan dan kerjasama yang jitu dalam kalangan ahli takmir masjid berkenaan serta penduduk kampung ini.
Acara Riadah Amal Berbasikal ini juga merupakan sebagai salah satu langkah pengimarahan Masjid Kampung Bukit Udal, Tutong untuk menggalakkan gaya hidup sihat melalui aktiviti riadah sambil beramal dengan menyumbangkan kewangan seangkat-angkat hati ke Tabung Masjid berkenaan dalam meraih ganjaran berlipat ganda dan setimpal daripada Allah Subhanahu Wata'ala.