TUTONG, SELASA, 18 NOVEMBER 2025 - Bahagian Rancangan Kemajuan Negara, Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE) dengan kerjasama Jabatan Daerah Tutong, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) telah mengadakan program 'Jelajah RKN' bagi membarigakan perancangan Rancangan Kemajuan Negara Ke-12 (RKN12) bertempat di Dewan Utama, Kompleks Kemasyarakatan, di sini.
Program Jelajah RKN bertujuan untuk membarigakan perancangan pembangunan negara di bawah RKN12 yang terdapat di Daerah Tutong antaranya pelaburan dalam infrastruktur moden, pendidikan, teknologi dan kemudahan awam yang menjadi pemacu utama pertumbuhan, kesejahteraan sosial dan kelestarian alam sekitar.
Program pembarigaan berkenaan turut memberi penekanan mengenai penglibatan aktif Penghulu-penghulu Mukim, Ketua-ketua Kampung dan sektor swasta dalam bersama-sama mendukung pembangunan di peringkat daerah dan negara.
Turut hadir semasa program berkenaan, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Pengarah di Bahagian Rancangan Kemajuan Negara, MOFE, Dayang Hajah Salawati binti Haji Puasa; ketua-ketua jabatan, Penghulu-penghulu Mukim, Ketua-ketua Kampung, Ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung (MPK) dan pihak swasta di Daerah Tutong.
Semasa program pembarigaan berkenaan, selain daripada taklimat-taklimat mengenai RKN12 dan Brunei Accredited Green Unified Seal (BAGUS) oleh pihak Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi), Kementerian Pembangunan, turut diadakan juga Mini Pameran RKN12 dan aktiviti jualan MPK dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) bagi mempromosi budaya dan produk-produk tempatan.