Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita Terkini

MAJLIS PEMBUKAAN SENI BINA KE-3

Majlis Pembukaan Seni bina IMG_0056.JPG

BERAKAS, RABU, 19 NOVEMBER 2025 – Dengan matlamat untuk meraikan daya kreativiti, dedikasi, dan inovasi golongan pelajar sekali gus bukan hanya mencerminkan pencapaian akademik bahkan juga menyerlahkan identiti, nilai-nilai, dan idea seni bina yang berpandangan jauh untuk masa depan Negara Brunei Darussalam NBD), Politeknik Brunei (PB) telah mengadakan Pameran Seni Bina Ke-3 dengan majlis pembukaannya berlangsung bertempat di Dewan Atria Simpur, Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR).

Pameran selama dua hari yang dibukakan kepada orang ramai sehingga 20 November 2025 ini membawa tema 'Alam Semula Jadi Bertemu Budaya' dan mengetengahkan hasil karya projek seni bina daripada 77 pelajar di bawah program Diploma Tahap 5 dalam Seni Bina PB dari Sekolah Sains dan Kejuruteraan, Kampus Lumut.

Dalam pada itu, hadir selaku tetamu kehormat majlis, Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri yang turut menyaksikan ruang pameran projek seni bina pelajar pada akhir majlis.

Turut hadir, Pemangku Pengetua PB, Dayang Hajah Armah binti Tengah; ketua-ketua sekolah dan bahagian PB, staf akademik, panel penilaian, mentor-mentor dan penilai karya kreatif pelajar.

Pada majlis berkenaan turut menyaksikan ucapan perasmian daripada Penolong Ketua Sekolah Sains dan Kejuruteraan, PB, Awang Muhammad Aizuddin bin Roslan, yang antara lain menekankan kepentingan hubungan komuniti yang kukuh dalam memupuk bakat dan memupuk inovasi dalam bidang seni bina.

Objektif utama pameran berkenaan ialah menyediakan landasan kepada para pelajar untuk membentangkan idea dan inovasi yang berkaitan dengan keperluan seni bina semasa, memperkukuh kerjasama industri, dan meningkatkan kesedaran awam tentang peranan seni bina dalam pembangunan negara.

Adapun matlamat utama pameran berkenaan termasuklah untuk membentangkan projek pelajar sebagai cadangan awal yang berpotensi menyumbang kepada pembangunan bandar lestari yang selaras dengan Wawasan Brunei 2035; dan menyediakan peluang untuk projek terpilih untuk dibangunkan dan dilaksanakan lebih lanjut termasuk kerjasama dengan syarikat-syarikat yang mantap.

Menerusi pameran projek pelajar seni bina pada tahun ini merangkumi cadangan untuk bangunan pelbagai guna, bangunan komersial dan kemudahan tandas awam di Pekan Tutong, dengan memberi tumpuan kepada keseimbangan antara tradisi, budaya, keperluan sosial dan pertumbuhan ekonomi, selaras dengan tema 'Alam Semula Jadi Bertemu Budaya'.​


Created at 22/11/2025 12:17 by astri.andy
Last modified at 22/11/2025 12:17 by astri.andy