TUTONG, AHAD, 23 NOVEMBER 2025 – Sukan Ria Pekan Tutong 2025, anjuran Majlis Perundingan Mukim Pekan Tutong (MPMPT) dengan kerjasama Jabatan Daerah Tutong, telah diadakan di Padang dan Balapan Kompleks Sukan Daerah Tutong dengan penglibatan menyeluruh masyarakat setempat.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Yang Mulia Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri, Pemangku Pegawai Daerah Tutong, yang berkenan melancarkan Sukan Ria Pekan Tutong 2025 serta seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang daripada kampung-kampung yang mengambil bahagian.
Penganjuran Sukan Ria Mukim Pekan Tutong (SRMPKT 2025) merupakan salah satu program tahunan utama MPMPT yang bertujuan memperkukuh hubungan silaturrahim dalam kalangan penduduk kampung di bawah tadahan Mukim Pekan Tutong. Acara ini dirumuskan bagi menggalakkan penyertaan aktif masyarakat dalam aktiviti berbentuk riadah, seterusnya memupuk budaya kesukanan, meningkatkan kerjasama berpasukan serta menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan penduduk.
Konsep penganjuran SRMPKT 2025 menekankan pelaksanaan aktiviti dan permainan ala telematch secara berkumpulan yang memberi ruang kepada para peserta untuk mempraktikkan kerjasama, disiplin serta komunikasi berkesan dalam suasana pertandingan yang terkawal dan selamat. Setiap kampung melalui Majlis Perundingan Kampung masing-masing turut diberi tanggungjawab untuk menyediakan satu jenis permainan yang sesuai, selaras dengan matlamat penganjuran serta mampu menarik penglibatan masyarakat pelbagai lapisan.
Acara turut diserikan dengan pertandingan tarik kalat yang melibatkan penyertaan daripada kampung-kampung berkenaan. Penyertaan jemputan khas daripada Jabatan Daerah Tutong serta dua pasukan gabungan Penghulu-Penghulu dan Ketua-Ketua Kampung Daerah Tutong turut memberi nilai tambah kepada penganjuran berkenaan, sekali gus memperlihatkan sokongan institusi kepimpinan akar umbi terhadap aktiviti berorientasikan komuniti.
Secara keseluruhannya, Sukan Ria Pekan Tutong 2025 berjaya dilaksanakan dengan teratur dan mencapai tujuan penganjurannya melalui sokongan padu masyarakat serta komitmen pihak-pihak yang terlibat. Penganjuran ini diharap akan terus menjadi platform berkesan dalam memperkukuh perpaduan, menyemarakkan semangat kesukanan dan merancakkan penglibatan masyarakat dalam program-program kemasyarakatan pada masa akan datang.
Majlis Perundingan Mukim Pekan Tutong merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan, kerjasama serta komitmen berterusan dalam menjayakan Sukan Ria Pekan Tutong 2025, dan berharap agar kerjasama erat ini dapat diperkukuhkan lagi pada masa hadapan demi kesejahteraan dan pembangunan masyarakat Mukim Pekan Tutong secara menyeluruh.