Your Title Goes Here
TUTONG, Sabtu, 7 Mac 2026 – Acara #Ouranhour dan penyampaian sumbangan kepada keluarga yang kurang berkemampuan telah diadakan di Masjid Kampung Telisai, anjuran Majlis Perundingan Mukim Telisai dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Telisai serta Majlis Perundingan Kampung Danau, Telisai, Kampung Bukit Beruang dan RPN Bukit Beruang Kawasan 1, 2, 3 dan 4.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Awang Haji Haizul Rizal bin Haji Yahya, Pegawai Tugas-Tugas Khas, yang seterusnya menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada para penerima. Dalam majlis tersebut, sumbangan telah disampaikan kepada lima buah keluarga dalam kalangan penduduk Mukim Telisai yang kurang berkemampuan sebagai tanda keprihatinan serta usaha untuk membantu meringankan beban mereka.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah diikuti dengan bacaan Surah Al-Mulk dan Surah Al-‘Asr secara beramai-ramai yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Hazwan Hamizan bin Haminuddin, Bilal Masjid Kampung Telisai. Majlis kemudiannya diteruskan dengan sesi tadabbur Surah Al-‘Asr yang disampaikan oleh Yang Mulia Ustaz Abd Rahman bin Ajak, Penolong Pensyarah KUPU SB.
Penganjuran acara ini bertujuan untuk menggalakkan para ahli Majlis Perundingan Mukim dan Majlis Perundingan Kampung serta penduduk kampung dan mukim agar sentiasa melibatkan diri dalam kegiatan keagamaan dan kebajikan. Selain itu, ia juga dihasratkan untuk memupuk penghayatan terhadap bacaan ayat-ayat suci Al-Quran bagi meraih keredaan Allah Subhanahu Wata’ala serta memahami kandungan dan pengajarannya.
Acara seumpama ini juga diharap dapat membudayakan amalan membaca Al-Quran dalam kehidupan seharian dan tidak hanya tertumpu pada bulan Ramadan, di samping mengeratkan perpaduan serta memperkukuhkan hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk mukim dan kampung.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim Telisai, ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung, Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Telisai serta para penduduk kampung dan mukim yang sama-sama memeriahkan acara berkenaan. Majlis diakhiri dengan bacaan doa bagi memohon keberkatan serta kesejahteraan kepada semua yang hadir.