gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

Your Title Goes Here

TUTONG, AHAD, 9 NOVEMBER 2025 – Kementerian Pendidikan sekali lagi berjaya mengekalkan kejuaraannya pada Kejohanan Badminton di Antara Kementerian-kementerian sempena Sambutan Hari Perkhidmatan Awam (HPA) kali Ke-32 Tahun 2025 yang melabuhkan tirainya hari ini bertempat di gelanggang badminton Kompleks Sukan Tutong.

Perlawanan akhir tersebut menyaksikan saingan sengit antara dua buah pasukan dari Kementerian Pendidikan yang menyaksikan Pasukan MOE BeyondEdu berjaya menewaskan MOE EduShuttlers dengan keputusan 3 -2 menerusi lima perlawanan.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyaksikan perlawanan akhir kejohanan dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah ialah Timbalan Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap, Timbalan Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan, penghulu mukim dan ketua-ketua kampung Daerah Tutong.

Juara membawa pulang hadiah berupa piala, pingat, sijil penyertaan dan wang tunai sebanyak BND900.

Selain itu, juara turut membawa pulang Piala Pusingan yang disumbangkan oleh Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah.

Naib juara, Pasukan MOE EduShuttlers menerima hadiah berupa piala, pingat, sijil penyertaan dan wang tunai sebanyak BND700.

Manakala tempat ketiga dimenangi oleh Pasukan MOH Smash Royale dari Kementerian Kesihatan yang membawa pulang piala, pingat, sijil penyertaan dan wang tunai sebanyak BND400, dan tempat keempat dimenangi oleh Pasukan MOHA Ace dari Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, membawa pulang sijil penyertaan dan wang tunai sebanyak BND300.

Manakala, johan bagi Consolation Draw dimenangi oleh Pasukan KKBS Shuttle Squad dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan membawa pulang piala, pingat dan sijil penyertaan.

Sebanyak 21 pasukan mewakili kementerian-kementerian telah menyertai kejohanan berpasukan ini yang mempertandingkan sebanyak lima kategori iaitu Beregu Lelaki (Bahagian I dan Terbuka), Beregu Lelaki ‘A’ (Kategori B2 dan Ke Atas), Beregu Lelaki ‘B’ (Kategori Bahagian III dan Ke Bawah), Beregu Wanita ‘A’ (Kategori Bahagian III Dan Ke Atas) serta Beregu Wanita ‘B’ (Kategori Bahagian IV dan Ke Bawah).

Kejohanan Badminton Antara Kementerian-kementerian sempena Sambutan HPA Kali Ke-32 ini dianjurkan bersama oleh Jabatan Bandaran Tutong dan Jabatan Daerah Tutong, serta dikendalikan oleh EYH United. Kejohanan didukung oleh Imagine Sendirian Berhad serta disokong oleh Persatuan Badminton Kebangsaan Brunei Darussalam (BNBA).

Penganjuran acara ini antara lain bertujuan untuk memupuk semangat perpaduan, kerjasama dan keharmonian dalam kalangan warga Perkhidmatan Awam, di samping memperkukuhkan lagi hubungan silaturahim antara kementerian-kementerian melalui aktiviti sukan yang sihat dan bermanfaat.

Ia juga dihasratkan dapat membina semangat kesukanan dan kerja berpasukan, meningkatkan motivasi serta kesejahteraan fizikal dan mental warga kerja Perkhidmatan Awam agar sentiasa cergas, produktif dan berdaya saing dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab harian.

Selain itu, kejohanan seumpama ini turut berperanan sebagai platform memperkukuh nilai integriti, disiplin dan semangat berpasukan yang menjadi tunjang kepada keberkesanan penyampaian Perkhidmatan Awam kepada rakyat dan negara.

Sebagai penutup, pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua kementerian yang telah mengambil bahagian, para pegawai dan urus setia yang terlibat serta pihak penaja atas sokongan dan kerjasama yang diberikan.

Diharapkan kejohanan seumpama ini akan dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang sebagai wadah memperkukuh semangat kebersamaan dan kecemerlangan warga Perkhidmatan Awam di Negara Brunei Darussalam.​