Your Title Goes Here
TUTONG, Isnin, 9 Mac 2026 – Majlis Penyampaian Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam diadakan bagi membantu meringankan beban golongan-golongan tertentu di negara ini, khususnya rakyat dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri Tahun 1447 Hijrah bersamaan 2026 Masihi.
Bagi Daerah Tutong, berangkat selaku wakil peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia bagi menyempurnakan Majlis Penyampaian Kurnia Peribadi tersebut ialah paduka anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen ke Dewan Utama, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Tutong dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Arif Dato Seri Setia Awang Haji Johar bin Haji Muhammad.
Pada majlis tersebut, Duli Yang Teramat Mulia berkenan menyempurnakan penyampaian Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kepada seramai 1,000 orang penerima dari Daerah Tutong..
Pengurniaan yang bermula pada 9 Mac hingga 10 Mac 2026 itu jelas memperlihatkan keprihatinan dan pemedulian berterusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia terhadap hal ehwal kebajikan golongan-golongan tertentu di negara ini agar mereka tidak tersisih daripada menerima perhatian dan bantuan Baginda, lebih-lebih lagi dalam suasana negara akan menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.