gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

Your Title Goes Here

TUTONG, SABTU, 29 OGOS 2026 – Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong (MHBPT) telah menganjurkan Majlis Ceramah Perdana Kedua sempena dengan Sambutan Jubli Intan Ke-60 Tahun masjid berkenaan.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri.

Ceramah bertajuk ‘Kembali Kepada Fitrah’ telah disampaikan oleh Penceramah Undangan, Naib Canselor Universiti Islam Selangor Malaysia, Yang Berbahagia Dato’ Profesor Dr. Haji Mohd. Farid Ravi bin Abdullah antara lain menyentuh mengenai fitrah roh dan jasad.

“Jika rohnya yang baik maka baiklah jasadnya. Sebaliknya, jika roh itu buruk maka buruklah jasadnya. Di samping itu, dalam menjalani kehidupan di dunia dan perjalanan menuju ke akhirat, kita perlu meningkatkan kesedaran mengenai syariat dan memperkukuh iman dengan penuh istiqamah,” jelasnya.

Ceramah Perdana telah dihadiri oleh kira-kira 500 orang yang terdiri daripada pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan, Muslimah dari masjid-masjid di Daerah Tutong dan orang ramai.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa ‘Allah Peliharakan Sultan’ oleh Imam MHBPT, Awang Sahibol Omar bin Haji Yussof dan diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada penceramah undangan dan tetamu kehormat majlis.

Beberapa aktiviti dan program-majlis ilmu termasuk Forum Belia, Kempen Derma Darah, Tazkirah dan lain-lain telah dirancang dan disusun bagi mengimarahkan masjid dan meraikan Sambutan Jubli Intan MHBPT di sepanjang tahun ini.

MHBPT telah dirasmikan pada 26 Ogos 1966 oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam (yang pada ketika itu bergelar Yang Teramat Mulia Seri Paduka Duli Pengiran Muda Mahkota Hassanal Bolkiah).

MHBPT merupakan masjid utama di Daerah Tutong, bukan sahaja dihasratkan sebagai sebuah tempat beribadat tetapi juga dimanfaatkan untuk pelbagai program dan aktiviti bagi memperkukuh hubungan antara penduduk dan masyarakat dan tumpuan bagi acara-acara keraian dan sambutan hari-hari kebesaran Islam dan negara.