Your Title Goes Here
TUTONG, Selasa, 24 November 2026 – Majlis Doa Kesyukuran sempena meraikan kejayaan Pasukan Lumba Daerah Tutong di Sarawak International Dragon Boat Regatta 2026 telah diadakan di Dewan Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Tutong.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Mulia Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri, Pemangku Pegawai Daerah Tutong.
Majlis tersebut diadakan sebagai tanda kesyukuran dan penghargaan atas pencapaian Pasukan Lumba Perahu Daerah Tutong yang telah menyertai edisi ke-12 Sarawak International Dragon Boat Regatta 2026 yang berlangsung di Tebingan Kuching, Sarawak pada 23 hingga 25 Oktober 2026.
Kejohanan berkenaan telah mempertandingkan sebanyak tujuh kategori dengan penyertaan 80 pasukan dari 22 buah negara. Dalam kejohanan tersebut, Daerah Tutong telah menghantar sebanyak tiga pasukan yang menyertai tiga kategori pertandingan, iaitu DB20 Premier Open, DB12 Premier Open dan DB12 Senior Open.
Hasil daripada penyertaan tersebut, Pasukan Lumba Perahun Tutong telah berjaya meraih tempat ketiga bagi kategori DB12 Senior Open. Pencapaian ini merupakan satu kejayaan yang membanggakan serta mencerminkan komitmen,disiplin,semangat juang dan kerjasama berpasukan yang ditunjukkan oleh para peserta sepanjang kejohanan berlangsung.
Penyertaan dalam kejohanan di peringkat antarabangsa ini bukan sahaja memberi peluang kepada pasukan untuk menguji keupayaan dan meningkatkan pengalaman dalam sukan lumba perahu,malah turut membawa nama Daerah Tutong ke persada sukan antarabangsa.
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Kesyukuran sebagai tanda Syukur atas kejayaan yang diraih serta harapan agar pencapaian tersebut menjadi pendorong kepada Pasukan Lumba Perahu Daerah Tutong untuk terus meningkatkan prestasi dan mencapai kejayaan yang lebih cemerlang pada masa akan datang.
Turut hadir Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial@Tekpin bin Ya’akub, Ahli Majlis Mesyuarat Negara merangkap Penghulu Mukim Ukong.