gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

Your Title Goes Here

TUTONG, KHAMIS, 26 NOVEMBER – Seramai 500 orang yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan kerajaan, ahli-ahli majlis perundingan kampung (MPK), wakil-wakil sektor swasta, ahli akademik, penuntut institusi pengajian tinggi, golongan belia, ahli-ahli persatuan serta masyarakat setempat menghadiri Forum Daerah-daerah Sempena Majlis Ilmu 2026 bagi Daerah Tutong, yang berlangsung di Dewan Ma’had Islam Brunei, Daerah Tutong.

Forum berkenaan merupakan salah satu pengisian Majlis Ilmu sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-80 Tahun.

Forum itu merupakan sebahagian daripada Forum Daerah-daerah Sempena Majlis Ilmu 2026 yang diadakan di keempat-empat daerah, selaras dengan tema sambutan tahun ini, Melayu Islam Beraja: Tonggak Kedaulatan Negara, yang menekankan kepentingan falsafah MIB sebagai asas dalam memelihara kedaulatan dan identiti negara.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tenaga, Huluan dan Hiliran), Yang Berhormat Dato Seri Haji Muhammad Azmi bin Haji Mohammad Hanifah.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Dato Seri Paduka Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal selaku pengerusi bersama jawatankuasa kerja Majlis Ilmu 2026; Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri; ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), ketua-ketua jabatan dan bahagian, pegawai-pegawai kanan kerajaan, penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung serta para jemputan khas.

Forum berkenaan menampilkan tiga ahli panel iaitu Ahli MMN, Yang Berhormat Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abdul Salam, Penolong Profesor, Akademi Pengajian Brunei, Universiti Brunei Darussalam (UBD); Pengiran Dr Khairul Rijal bin Pengiran Haji Abdul Rahim; dan Pegawai Agama, Bahagian Khidmat Nasihat Keluarga, Jabatan Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Abdul Mu’iid bin Hariel.

Forum itu dikendalikan oleh Pengarah Pusat Antarabangsa dan Perhubungan Awam, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Awang Muhammad Muslihuddin Syah bin Haji Mustafa selaku moderator.

Forum bertajuk, MIB: Bukan Sekadar Slogan, Ini Cara Hidup Kitani, membincangkan kepentingan penghayatan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB) sebagai panduan dan amalan dalam kehidupan seharian serta peranannya dalam memperkukuh identiti, perpaduan dan jati diri masyarakat Negara Brunei Darussalam.

Sesi forum turut disusuli dengan sesi soal jawab yang memberikan peluang kepada para hadirin untuk mengemukakan pertanyaan dan mendapatkan penjelasan lanjut daripada ahli-ahli panel mengenai penghayatan dan pengamalan falsafah MIB dalam kehidupan seharian.

Penganjuran forum itu diharap akan terus menjadi wadah dalam memperkukuh kefahaman dan penghayatan masyarakat terhadap falsafah MIB, di samping menyemarakkan budaya ilmu serta memupuk kesedaran bersama mengenai tanggungjawab memelihara identiti, perpaduan dan kedaulatan Negara Brunei Darussalam.