Your Title Goes Here
TUTONG, Selasa, 14 Julai 2026 – Majlis Kesyukuran yang diselajurkan dengan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah, Sembahyang Sunat Hajat, Bacaan Surah Yaa Siin, Doa Kesyukuran dan Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 bagi Daerah Tutong telah diadakan di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong.
Hadir selaku tetamu khas majlis ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah yang diimamkan oleh Imam Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong, Yang Mulia Awang Sahibul Omar bin Haji Yusuf, diikuti dengan Sembahyang Sunat Hajat.
Bacaan Surah Yaa Siin dipimpin oleh Imam Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong, Yang Mulia Awang Mohammad Waiz bin Tajuddin, manakala Doa Kesyukuran dibacakan oleh Pemangku Ketua Pegawai Ugama Daerah Tutong, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Awang Haji Hamdani bin Haji Osman.
Majlis diteruskan dengan Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah yang turut diimamkan oleh Yang Mulia Awang Mohammad Waiz bin Tajuddin.
Penganjuran majlis berkenaan merupakan antara pengisian keagamaan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80, sebagai tanda kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala serta memohon agar Baginda dikurniakan keafiatan, kesejahteraan, kebahagiaan dan dipanjangkan usia, seterusnya kekal memimpin Negara Brunei Darussalam dengan penuh hikmah, adil dan saksama.