TUTONG, SABTU 13 SEPTEMBER 2025 – Pesta Perayaan Pekan Tutong 2025 telah berlangsung dengan penuh kemeriahan bertempat di Kawasan Jalan Enche Awang dan Jeti Pekan Tutong.
Acara berkenaan dianjurkan bersama oleh Jabatan Daerah Tutong, Jabatan Bandaran Tutong dan Badan Kemajuan dan Kreatif Daerah Tutong bersempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-79 Tahun.
Hadir selaku Tetamu Kehormat di acara tersebut ialah Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya’akub, Ahli Majlis Mesyuarat Negara yang juga selaku Penghulu Mukim Ukong, Tutong.
Seramai lebih 300 orang peserta terlibat di dalam perarakan yang diadakan di Jalan Enchi Awang Pekan Tutong yang mana melibatkan penyertaan pasukan Serunai dan Tambur Jabatan Penjara dan Pasukan Pencaragam Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Team Kreatif Daerah Tutong, Gabungan Masyarakat Daerah Tutong iaitu Masyarakat Tutong, Dusun dan Kedayan. Juga turut serta Gabungan Masyarakat Iban, Tiong Hwa, Indonesia dan India. Juga tidak ketinggalan menyertai perarakan ialah persatuan silat serta penggiat-penggiat seni dan kebudayaan Daerah Tutong.
Pesta Perayaan berlangsung selama 2 hari iaitu bermula pada Hari Jumaat, 12hb September 2025 bermula Jam 2.00 petang hingga 11.00 malam dan hari kedua iaitu Hari Sabtu, 13hb September 2025 bermula Jam 9.00 pagi hingga 11.00 malam.
Pelbagai acara dan aktiviti mengambil tempat pada 2 hari berkenaan antaranya Tutong Culture Street, Aktiviti Zon Aktif yang mengetengahkan persembahan penggiat-penggiat seni tanah air, jualan bazar dan pada hari kemuncak Hari Sabtu bermula jam 8.15 malam Perarakan Pesta Perayaan, Basikal Berhias dan Pertunjukan Bunga Api.
Acara kemuncak pesta adalah pertunjukan bunga api yang diadakan di kawasan Mercu Tanda Sungai Tutong, sekali gus menjadi simbolik kepada kesyukuran, kegembiraan dan perpaduan masyarakat Daerah Tutong.
Penganjuran Pesta Perayaan Pekan Tutong 2025 bukan sahaja menjadi platform untuk menghargai semua pihak yang terlibat dalam menjayakan sambutan ini, malah turut memberi ruang kepada penggiat seni tempatan untuk menonjolkan bakat dan kreativiti mereka.
Selain menjadi platform kepada masyarakat untuk menyaksikan kepelbagaian persembahan, kebudayaan, pelancongan, sosial kemasyarakatan dan aktiviti sukarelawan, pesta ini turut membuka peluang ekonomi kepada Perniagaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) termasuk pengusaha Satu Kampung Satu Produk (1K1P). Usaha ini seterusnya diharap dapat merangsang kemajuan Pekan Tutong sebagai pusat perniagaan yang strategik, berdaya maju serta berpotensi menarik lebih ramai pengunjung.
Dengan pelaksanaan program yang menyatukan pelbagai lapisan masyarakat, Pesta Perayaan Pekan Tutong 2025 berjaya menyerlahkan semangat kerjasama, kesukarelawanan serta kecintaan rakyat Daerah Tutong dalam sama-sama menjayakan sambutan perayaan tahunan negara.