Your Title Goes Here
TUTONG, Khamis, 12 Mac 2026 – Majlis Khatam Al-Quran dan Penyampaian Derma kepada Anak-Anak Yatim serta Sumbangan kepada Orang-Orang Berkeperluan Khas sempena menjelang Hari Raya Aidilfitri yang dikendalikan oleh MPK RPN Bukit Beruang (Asal) dan Takmir Masjid RPN Bukit Beruang telah diadakan di Masjid Rancangan Perumahan Negara Bukit Beruang.
Hadir selaku Tetamu Kehormat majlis ialah Yang Mulia Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri, Pemangku Pegawai Daerah Tutong, yang seterusnya menyempurnakan penyampaian sumbangan derma kepada para penerima yang berkenaan sebagai tanda keprihatinan dan sokongan berterusan pihak-pihak terlibat terhadap kebajikan golongan yang memerlukan.
Majlis tersebut diadakan bagi menyemarakkan keberkatan bulan Ramadan melalui Majlis Khatam Al-Quran, di samping menyantuni serta meringankan beban anak-anak yatim dan orang-orang berkeperluan khas dalam membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Pada majlis berkenaan, seramai 60 orang anak yatim dan 20 orang orang berkeperluan khas telah menerima sumbangan derma dan diharapkan dapat membantu memenuhi keperluan asas serta persiapan perayaan mereka, sekali gus mencerminkan semangat perpaduan, ihsan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan masyarakat.