Your Title Goes Here
TUTONG, Isnin, 8 Disember 2025 – Majlis Menandatangani Kontrak Penyewaan Unit No. 2 serta Perasmian Pembukaan Kafe Ukong Mamagon telah diadakan di Bangunan SAKU, Kampung Ukong, Tutong.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Yang Mulia Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri, Pemangku Pegawai Daerah Tutong, yang seterusnya berkenan menyaksikan Penandatangan Kontrak Penyewaan dan sekaligus merasmikan pembukaan Kafe Ukong Mamagon.
Penandatangan kontrak tersebut telah disempurnakan di antara Awang Muhammad Hakimi bin Abdullah Gampar, Ketua Kampung Ukong, dengan Awang Hong Kong Send, Pengerusi Koperasi SAKU, dan turut disaksikan oleh Yang Mulia Pemangku Pegawai Daerah Tutong.
Majlis ini menandakan langkah kerjasama rasmi antara Ahli Jawatankuasa (AJK) Bangunan SAKU dan Kafe Ukong Mamagon (Syarikat Kerjasama MPK Ukong), sekaligus membuka lembaran baharu dalam usaha memperkasa ekosistem perniagaan setempat. Usaha ini turut memberi peluang kepada ahli-ahli syarikat untuk membangunkan keupayaan perniagaan yang lebih kukuh, fleksibel dan berdaya saing, di samping menggalakkan penghasilan produk makanan baharu bagi memajukan operasi kafe di kawasan tersebut.
Penubuhan Kafe Ukong Mamagon berperanan mewujudkan pusat pertemuan komuniti yang menyediakan ruang santai dan mesra bagi penduduk setempat. Ia menyokong perkembangan ekonomi kampung melalui penyediaan peluang pekerjaan, membuka ruang keusahawanan kecil serta merangsang aktiviti ekonomi setempat. Kafe ini juga menjadi platform untuk mengangkat identiti dan produk tempatan, khususnya melalui promosi makanan tradisional dan produk berasaskan sagu atau ambulung yang sinonim dengan kawasan Ukong.
Selain itu, kewujudan kafe ini diharapkan dapat menarik kedatangan pelawat dan mempromosikan Kampung Ukong sebagai destinasi luar bandar yang mempunyai daya tarikannya tersendiri. Penyediaan fasiliti yang lebih baik turut memberi nilai tambah kepada pengalaman pelawat dan menyokong pembangunan pelancongan komuniti.
Inisiatif ini juga mengukuhkan peranan Majlis Perundingan Kampung (MPK) sebagai penggerak pembangunan masyarakat dan menjadi projek contoh di bawah Syarikat Kerjasama MPK Ukong dalam usaha memajukan kampung secara berdikari dan berdaya saing.