Your Title Goes Here
TUTONG, Sabtu, 29 Ogos 2026 – Majlis Pembukaan Perlawanan Tarik Kalat Terbuka Brunei 2026 Sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-80 Tahun 2026, anjuran Jabatan Daerah Tutong, telah berlangsung di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan Tutong.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Mulia Awangku Arif Anuar bin Pengiran Haji Ahmad, Penolong Pegawai Daerah Tutong, yang seterusnya menyempurnakan majlis pembukaan.
Perlawanan Tarik Kalat Terbuka Brunei 2026 mempertandingkan dua kategori, iaitu Kategori Ringan 560kg dan Kategori Berat 680kg. Kategori Ringan 560kg disertai oleh 16 pasukan, manakala Kategori Berat 680kg disertai oleh 12 pasukan.
Turut mengambil bahagian ialah pasukan jemputan dari Sabah dan Sarawak, dengan penyertaan sebanyak tiga pasukan bagi Kategori Ringan 560kg dan tiga pasukan bagi Kategori Berat 680kg.
Penganjuran perlawanan tersebut bukan sahaja bertujuan untuk menyemarakkan lagi suasana Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-80 Tahun 2026, malah turut menjadi wadah untuk mengeratkan silaturahim dan memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan ahli jawatankuasa, peserta serta peminat sukan tarik kalat.
Di samping itu, acara berkenaan turut membuka peluang kepada para peniaga mikro tempatan untuk menjalankan aktiviti perniagaan sepanjang berlangsungnya perlawanan, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kegiatan ekonomi dan pendapatan para peniaga setempat.
Penganjuran ini juga bertujuan untuk memperkenalkan dan memelihara sukan tradisi tarik kalat di Negara Brunei Darussalam agar terus dikenali serta diminati oleh generasi muda. Melalui penglibatan dalam sukan berpasukan, para peserta dapat memupuk nilai-nilai positif seperti daya saing yang sihat, disiplin, ketekunan, semangat kerjasama dan setia kawan.
Selain itu, penglibatan golongan belia dalam aktiviti sukan dan kemasyarakatan seumpama ini diharap dapat menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat, di samping menyediakan wadah yang positif bagi mengisi masa lapang serta mengurangkan kecenderungan terhadap aktiviti kurang berfaedah, termasuk penggunaan gajet secara berlebihan.
Perlawanan Tarik Kalat Terbuka Brunei 2026 berlangsung selama dua hari, bermula 29 hingga 30 Ogos 2026, bertempat di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan Tutong.
Format pertandingan dijalankan secara sistem pukul keliling atau round robin, tertakluk kepada jumlah penyertaan bagi setiap kategori.
Penganjuran Perlawanan Tarik Kalat Terbuka Brunei 2026 diharap akan terus menjadi salah satu platform dalam memperkasa penglibatan masyarakat melalui aktiviti sukan dan kemasyarakatan, di samping memupuk semangat kesukanan, kerjasama berpasukan dan setia kawan dalam kalangan peserta. Acara seumpama ini juga diharap dapat menyumbang kepada usaha memelihara serta memperkenalkan sukan tradisi tarik kalat kepada generasi muda, sekali gus menyemarakkan lagi suasana Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-80 Tahun 2026.