Your Title Goes Here
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 8 November 2026 – Majlis Pembukaan Rasmi Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam Ke-5 Tahun 2026 telah berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan yang seterusnya menyempurnakan perasmian temasya sukan berkenaan.
Kontinjen Daerah Tutong diketuai oleh Yang Mulia Awang Mohammad Adi Asnawi bin Haji Awang Adnan, Pemangku Penolong Pegawai Daerah Tutong, dengan penyertaan seramai 231 orang yang terdiri daripada atlet dan pegawai kontinjen.
Penyertaan Kontinjen Daerah Tutong dalam temasya sukan kebangsaan ini mencerminkan komitmen daerah dalam menyokong pembangunan bidang sukan serta menggalakkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti sukan di samping memupuk semangat kesukanan, disiplin dan perpaduan dalam kalangan peserta.
SKBD merupakan kejohanan peringkat kebangsaan yang bertujuan untuk membina serta memajukan tahap dan prestasi ahli-ahli sukan di NBD secara berkontinjen.Ia juga diharap dapat membentuk golongan ahli sukan yang berwibawa,membina semangat persaingan yang sihat dan mesra serta memupuk kerjasama dalam pembangunan sukan dan perkembangan bakat atlet ke arah kecemerlangan sukan negara.
Antara tujuan utama SKBD diadakan adalah untuk mewujudkan hubungan kerjasama yang akrab dalam membina pembangunan insan ke arah pembangunan sejagat di samping membina rangkaian keharmonian melalui satu gagasan sukan bagi menjana evolusi baharu dalam usaha membentuk sebuah negara yang harmoni dan bersatu.
Sukan merupakan wadah penting bukan sahaja membudayakan gaya hidup sihat,malah selaras dengan usaha kerajaan dalam memastikan rakyat sentiasa sihat,produktif,berdisiplin dan berdikari yang menjadi teras kepada kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara menuju masa hadapan.