Your Title Goes Here
TUTONG, SABTU, 30 MEI 2026 – Persatuan Melayu Kedayan (PEMEDAYAN) dengan kerjasama Majlis Perundingan Kampung Bukit Panggal dan Kampung Luagan Dudok telah mengadakan Majlis Korban Sempena Hari Raya Aidiladha bertempat di Pusat Kemasyarakatan Kampung Luagan Dudok, Mukim Keriam, Daerah Tutong.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awangku Arif Anuar bin Pengiran Haji Ahmad yang seterusnya menyempurnakan pengagihan daging korban sunat kepada seramai 32 orang penerima daripada golongan asnaf yang terdiri daripada penduduk Kampung Luagan Dudok dan Kampung Bukit Panggal.
Pada majlis tersebut, sebanyak tiga ekor kerbau telah dikorbankan untuk diagihkan kepada para penerima yang layak.
Atur cara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Ahli PEMEDAYAN, Awang Haji Nassar Nayan.
Turut hadir ialah Penghulu Mukim Keriam, Awang Haji Joharry bin Haji Abdul Karim, ahli-ahli PEMEDAYAN serta penduduk kampung di kawasan sekitarnya.
Penganjuran majlis tersebut bertujuan untuk menghayati dan melaksanakan tuntutan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha di samping menyemai nilai keikhlasan, pengorbanan dan kesyukuran dalam kalangan masyarakat.
Selain itu, majlis berkenaan turut menjadi platform untuk mengukuhkan hubungan silaturahim serta memupuk semangat perpaduan dan kerjasama antara ahli PEMEDAYAN dan penduduk kampung melalui penglibatan secara bergotong-royong dalam menjayakan acara tersebut.
Majlis itu juga menjadi wadah untuk menyemai sikap prihatin dan budaya berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan menerusi pengagihan daging korban kepada para penerima yang layak.
Di samping itu, acara berkenaan diharap dapat memperkukuhkan hubungan kemasyarakatan, meningkatkan semangat kekitaan serta menyemarakkan amalan saling membantu dalam kalangan masyarakat setempat.
Penganjuran majlis seumpama ini diharap akan terus dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai salah satu usaha memperkukuhkan perpaduan masyarakat, memelihara nilai-nilai murni kemasyarakatan dan menggalakkan budaya kebajikan serta kesukarelawanan dalam kalangan penduduk kampung.