gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

Your Title Goes Here

TUTONG, AHAD, 30 NOVEMBER 2025 – Majlis Pengundian dan Pemilihan Calon Ketua Kampung Layong, Mukim Lamunin telah diadakan hari ini bertempat di Dewan Kemasyarakatan Kampung Layong, Mukim Lamunin menggunakan kaedah kertas undi. Manakala pengundian menggunakan aplikasi mudah alih e-Undi PMKK telah pun bermula pada Jumaat, 28 November 2025.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang diketuai oleh Ketua Imam Masjid Kampung Layong, Mukim Lamunin, Awang Haji Mohd. Nazelley bin Noorashid.

Calon tunggal yang layak bagi mengisikan jawatan Ketua Kampung Layong ialah Awang Haji Sharin bin Haji Yanam, berusia 48 tahun pada tarikh pencalonan.

Seramai 144 penduduk kampung daripada 162 orang yang berdaftar dan layak mengundi calon untuk mengisi jawatan Ketua Kampung Layong di mana 43 orang telah mengundi menggunakan aplikasi mudah alih e-Undi PMKK dan 101 orang menggunakan kertas undi.

Majlis pengundian dan pemilihan tersebut telah menyaksikan sebanyak 122 undi telah bersetuju manakala 21 undi tidak bersetuju dan satu dikategorikan sebagai undi rosak.

Turut hadir, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial@ Tekpin bin Ya’akub, Penghulu Mukim Ukong; Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri selaku Pengerusi Majlis, Pegawai Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Penghulu Mukim Lamunin, ketua kampung dan pemangku ketua kampung di bawah Mukim Lamunin berserta penduduk kampung.

Keputusan pengundian dan pemilihan calon Ketua Kampung Layong akan dihadapkan ke Lembaga Perjawatan, Disiplin dan Tatatertib Penghulu Mukim dan Ketua Kampung, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri bagi proses selanjutnya.​