Your Title Goes Here
TUTONG, Ahad, 8 Mac 2026 – Majlis Penyampaian Bantuan Amal dan Derma Anak-Anak Yatim bagi penduduk RPN Bukit Beruang Kawasan 3 dan 4 telah diadakan di Kediaman Rasmi Yang Mulia Awang Azman bin Haji Ismail, Ketua Kampung RPN Bukit Beruang Kawasan 3.
Hadir selaku Tetamu Kehormat majlis ialah Yang Berhormat Haji Mohd Danial bin Yakub yang turut menyempurnakan penyampaian derma dan sumbangan kepada anak-anak yatim serta para penerima bantuan amal.
Turut hadir sebagai jemputan khas ialah Pengarah Halidin bin Bujeh, OCS Balai Polis Tutong; Penghulu Mukim Telisai; Ketua Kampung Bukit Beruang dan RPN Bukit Beruang (Asal); Ketua Kampung Danau; Ketua Kampung RPN Bukit Beruang Kawasan 1; serta wakil-wakil syarikat iaitu Managing Director Syarikat Best Integrated Engineering Solutions & Supplies Sdn Bhd dan Pengurus Syarikat Syafeeqah Enterprise yang turut sama memberikan sumbangan kepada anak-anak yatim dan penerima bantuan amal di kawasan tersebut.
Majlis tersebut juga diselajurkan dengan bacaan tahlil dan doa arwah yang dipimpin oleh Imam Ishamuddin bin Haji Selaman. Acara kemudiannya diteruskan dengan majlis bersungkai bersama anak-anak yatim serta para penduduk yang kurang berkemampuan.
Penganjuran majlis ini bertujuan untuk menyampaikan bantuan amal dan derma kepada anak-anak yatim serta golongan yang memerlukan di kawasan RPN Bukit Beruang Kawasan 3 dan 4 di samping meringankan beban perbelanjaan para penerima bantuan. Selain itu, majlis ini juga diharap dapat memupuk semangat keprihatinan dan kerjasama dalam kalangan masyarakat serta mengeratkan hubungan silaturahim antara pemimpin masyarakat, para penyumbang dan penduduk setempat.