gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

Your Title Goes Here

TUTONG, Isnin, 2 Mac 2026 – Majlis Penyampaian Derma Anak-Anak Yatim Daerah Tutong bagi Tahun 1447H/2026M telah berlangsung dengan penuh tertib dan suasana penuh keinsafan di Dewan Seri Kenangan, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Tutong.

Hadir selaku Tetamu Kehormat majlis ialah Yang Mulia Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri, Pemangku Pegawai Daerah Tutong.

Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang disampaikan oleh Dayang Nur Damia Faqihah binti Mohammad Aji, penuntut Sekolah Ugama Tutong Kem. Seterusnya, tafsiran ayat telah disampaikan oleh Ustazah Hajah Norlaila binti Haji Metussin, Guru Sekolah Ugama Tutong Kem.

Majlis kemudian diteruskan dengan bacaan Tahlil, Doa Arwah dan Doa Peliharakan Sultan yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Dilla Aiyad Kasyidi bin Ahmadi, Imam Masjid Kampung Penanjong, Tutong.

Seramai 479 orang anak-anak yatim berusia 18 tahun ke bawah dari Daerah Tutong yang berdaftar dengan Jabatan Pembangunan Masyarakat telah menerima sumbangan derma yang disalurkan melalui Tabung Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, Tabung Kebajikan Anak-Anak Yatim Daerah Tutong serta Bank Islam Brunei Darussalam.

Sumbangan yang dihulurkan ini bertujuan untuk membantu meringankan beban perbelanjaan anak anak yatim dalam membuat persiapan menyambut ketibaan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang, sekali gus mencerminkan keprihatinan dan komitmen berterusan pelbagai pihak terhadap kebajikan golongan berkenaan.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan, Penghulu-Penghulu Mukim, Pemangku-Pemangku Penghulu Mukim, Ketua-Ketua Kampung serta Pemangku-Pemangku Ketua Kampung di Daerah Tutong.

Majlis seumpama ini diharapkan akan terus memperkukuhkan semangat kebersamaan dan nilai ihsan dalam kalangan masyarakat, di samping mengeratkan hubungan silaturahim antara agensi kerajaan, pihak berkepentingan dan penduduk setempat dalam usaha bersama memelihara kebajikan serta kesejahteraan anak-anak yatim di Daerah Tutong.