Your Title Goes Here
TUTONG, SABTU, 29 NOVEMBER 2025 – Sekolah Rendah Pengiran Dipa Negara Pengiran Jaya Sengkarai, Tutong, hari ini meraikan seramai 92 murid cemerlang pada Majlis Penyampaian Hadiah Kecemerlangan Akademik dan Projek Sekolah 2025 bagi para pelajar dan tenaga pengajar sekolah berkenaan.
Murid yang diraikan ialah 21 murid menerima hadiah akademik, 41 penerima hadiah galakkan serta 15 murid menerima dari Darjah Pra dan Tahun 6 sekolah tersebut.
Hadir pada majlis yang berlangsung di Dewan Dipa Negara sekolah berkenaan ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri.
Guru Besar sekolah, Dayang Nurkara’en binti Haji Tuneh dalam ucapan alu-aluannya mengongsikan bahawa pada tahun ini, pihak sekolah telah berjaya mencapai 60 peratus bagi Gred A – C berbanding dari 53.85 peratus pencapaian Penilaian Sekolah Rendah (PSR) 2024.
Manakala subjek Bahasa Melayu dan Melayu Islam Beraja telah berjaya mencapai 87 peratus Gred A – C, Bahasa Inggeris, 80 peratus, Matematik, 60 peratus dan Sains sebanyak 60 peratus.
“Setinggi-tinggi tahniah sekali lagi diucapkan kepada para tenaga pengajar Tahun 6 yang tidak pernah berputus asa dan sentiasa berusaha memberikan yang terbaik kepada para pelajar ‘kitani’ dari awal hinggalah mereka mendapat keputusan yang sangat baik.
“Ucapan ribuan terima kasih juga diucapkan kepada para ibu bapa / penjaga murid yang telah pun memberi sokongan padu dan kerjasama kepada pihak sekolah sepanjang anak-anak ‘biskita’ belajar di sekolah ini. Ini termasuklah menghantar para murid Tahun 6 untuk menghadiri kelas tambahan setiap Jumaat dan juga waktu cuti penggal persekolahan,” ujarnya.
Jelasnya, kerjasama dan keprihatinan sebeginilah yang sangat diharapkan oleh pihak sekolah yang perlu diteruskan dan juga dipertingkatkan lagi di masa akan datang.
Apa yang pasti, tambahnya, kesemua mereka yang diraikan telah sama-sama berusaha memajukan sekolah baik dari segi hal ehwal akademik khasnya dalam memberi dan mengukuhkan pengetahuan asas di dalam bidang literasi dan numerasi di peringkat sekolah rendah dan juga kesejahteraan para pelajar khususnya dalam kalangan murid-murid di sekolah ini.
Selain itu, katanya, untuk makluman bersama pihak sekolah juga telah meraih kejayaan dan mendapat pengiktirafan daripada pihak Jabatan Sekolah-Sekolah dalam projek atau program sekolah, iaitu School Improvement Plan yang terdiri dari satu bidang fokus utama, iaitu Program Count On Us (COU) yang memfokuskan untuk meningkatkan lagi pencapaian Matematik di peringkat rendah khasnya Tahun 3, 4 dan 5.
Selain meraikan kejayaan dalam aspek akademik, tambahnya lagi, pihak sekolah juga menghargai penglibatan para pelajar kita yang aktif di dalam aspek kerohanian. Ini dapat dilihat khasnya semasa pelaksanaan program kerohanian seperti membaca Surah Yaa Siin dan doa yang diadakan setiap pagi Khamis yang turut disertai dan diketuai oleh para pelajar rendah atas di bawah bimbingan Ketua Guru Ugama.
Selain itu, pihak sekolah juga turut menghargai para pelajar yang terlibat bagi Program Bilal & Imam Cilik 2025 anjuran Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui bahagian IRK di sekolah-sekolah rendah kerajaan dan swasta.
Jelasnya lagi, objektif utama program ini adalah untuk mendidik dan melatih para pelajar menjadi individu yang bertanggungjawab, berdisiplin dan berkemahiran dalam memimpin ibadah solat serta meningkatkan keyakinan pelajar untuk tampil menjadi bilal dan imam khasnya semasa menunaikan Solat Fardu Zuhur Berjemaah di sekolah.
Oleh itu, tambahnya lagi, tahniah diucapkan kepada guru-guru pengawas dan juga para pelajar berkenaan kerana telah dapat menjalankan tugas dan amanah yang diberikan.
Adapun tujuan utama majlis diadakan adalah khusus untuk meraikan kejayaan yang telah diraih oleh para pelajar khususnya bagi murid Pra sekolah hingga Tahun 6 2025 yang telah pun menunjukkan kejayaan cemerlang dalam bidang akademik sepanjang tahun ini termasuklah bagi Penilaian Akhir Tahun 2025 dan juga program khas sekolah seperti School Improvement Plan (SIP) bagi tahun ini.
Selain itu, majlis ini juga turut meraikan murid Tahun 6 yang telah pun menduduki PSR 2025 yang lalu di samping tidak ketinggalan juga meraikan murid Pra yang telah pun menamatkan peringkat Pra sekolah 2025.
Majlis tersebut juga adalah untuk menghargai segala usaha dan jasa para guru yang telah bersusah payah mendidik, mencurahkan ilmu dan berkorban masa dan tenaga untuk para pelajar Tahun 6 sehingga mereka mendapat kejayaan di dalam PSR.