Your Title Goes Here
TUTONG, SABTU, 18 APRIL 2026. – Suasana penuh kemeriahan dan muhibah jelas terserlah pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi anjuran bersama Majlis Perundingan Mukim (MPM) Ukong dan Takmir Masjid Kampung Bukit dengan kehadiran lebih 200 orang penduduk kampung dan sekitarnya.
Majlis sambutan berkenaan diadakan di Dewan Serbaguna Kampung Bukit, di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat, Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Pemangku Imam Masjid Kampung Bukit, Awang Muhd. Jilimi bin Muhd. Solihen.
Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya’akub, juga Penghulu Mukim Ukong, selaku Pengerusi Majlis dalam ucapan alu-aluannya antara lain berkata, majlis seumpama berkenaan bukan sekadar tradisi tahunan sempena Aidilfitri, malah menjadi wadah penting untuk memperkukuh ikatan silaturahim, menyemai semangat kekeluargaan, dan memupuk perpaduan dalam kalangan warga mukim dan kampung.
Menurut Yang Berhormat lagi, inilah ruang untuk kita bermaaf-maafan, memperbaharui persahabatan, serta mengeratkan hubungan yang telah lama terjalin.
Tetamu kehormat majlis kemudiannya berkunjung Hari Raya ke Rumah Terbuka tiga buah kampung, iaitu Kampung Long Mayan, Kampung Bukit, dan Kampung Ukong serta melawat pameran Balai Galeri.
Selain menikmati pelbagai hidangan jamuan hari raya, majlis juga diserikan dengan pertandingan nyanyian dan persembahan pentas.
Juga hadir pada majlis berkenaan, penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung, pegawai-pegawai Jabatan Daerah Tutong, penasihat MPM dan Majlis Perundingan Kampung (MPK) Mukim Ukong, serta Ahli-ahli Jawatankuasa Penyelenggara MPM dan MPK Mukim Ukong.