gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

Your Title Goes Here

TUTONG, SELASA, 14 APRIL 2026. – Dalam usaha untuk mengukuhkan semangat silaturahim dalam kalangan warga emas serta masyarakat setempat, Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) Daerah Tutong pagi tadi menganjurkan Majlis Warna Warni Berhari Raya 1447 Hijrah/2026 Masihi, yang berlangsung di pusat berkenaan. 

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri.

Pengurus PKWE Daerah Tutong, Awang Haji Hamaffi bin Md. Yassin dalam ucapannya menjelaskan majlis berkenaan bukan sahaja bertujuan untuk meraikan kemenangan selepas sebulan berpuasa, bahkan menjadi wadah tahunan mengeratkan hubungan silaturahim serta membesarkan hari-hari kebesaran Islam di Negara Brunei Darussalam.

Dalam ucapannya, beliau turut menyentuh objektif penubuhan PKWE Negara Brunei Darussalam, antaranya menggalakkan penglibatan dan kerjasama pelbagai pihak melalui pendekatan Whole Of Nation – iaitu strategi kolaborasi menyeluruh melibatkan kerajaan, sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO), institusi pengajian, dan seluruh rakyat bagi menangani isu kompleks serta mencapai matlamat pembangunan negara.

Majlis berkenaan bukan sahaja mempamerkan kegembiraan menyambut Hari Raya, malah menjadi bukti bahawa warga emas terus relevan dan proaktif dalam membina jalinan sosial serta komuniti penyayang di bawah naungan semangat kebersamaan seluruh rakyat dan penduduk Brunei.