gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

Your Title Goes Here

TUTONG, Jumaat, 13 Februari 2026 – Majlis Doa Selamat dan Kerja Gotong-Royong bagi merobohkan sebahagian sebuah rumah telah diadakan di kediaman Awang Abd Qawi bin Mohd Tamin yang terletak di No. 4, Jalan Melaboi, Kampung Bukit Ukong, Mukim Ukong, sebagai salah satu pelaksanaan Projek Khidmat Masyarakat anjuran Majlis Perundingan Mukim (MPM) Ukong.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya‘akub, Ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Penghulu Mukim Ukong.

Majlis dimulakan dengan bacaan Doa Selamat bagi memohon keberkatan, keselamatan dan kelancaran sepanjang pelaksanaan kerja-kerja gotong-royong yang dijalankan. Projek berkenaan merupakan salah satu usaha berterusan MPM Ukong dalam membantu meringankan beban pemilik kediaman yang memerlukan bantuan melalui pelaksanaan Projek Khidmat Masyarakat. Selain itu, ia juga bertujuan untuk memupuk dan memperkukuhkan semangat kerjasama, perpaduan serta nilai bergotong-royong dalam kalangan penduduk Mukim Ukong tanpa mengira latar belakang.

Program ini diadakan khusus untuk membantu penduduk yang memerlukan sokongan dalam membaik pulih kediaman mereka, sambil memberi peluang kepada komuniti setempat untuk bergotong-royong. Sumbangan berupa tenaga dan keperluan program turut diberikan oleh Syarikat VSL Systems (B) Sdn Bhd serta Platun Rintis Serang dan Platun Civil Military Coordination (CIMIC), BN2 TDDB, Tutong Kem yang hadir memberikan bantuan sepanjang aktiviti dijalankan. Program ini bertujuan memupuk semangat perpaduan, kerjasama, dan tanggungjawab sosial dalam kalangan penduduk Mukim Ukong, di samping mengeratkan hubungan silaturahim antara ahli Majlis Perundingan Mukim, pemimpin masyarakat, dan penduduk kampung.

Di samping itu, program ini turut bertujuan untuk meningkatkan tahap keprihatinan sosial dalam kalangan ahli Majlis Perundingan Mukim, pemimpin masyarakat dan penduduk setempat terhadap kebajikan masyarakat di mukim berkenaan. Melalui penglibatan secara langsung dalam aktiviti kemasyarakatan seperti ini, ia secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan silaturahim, memperkukuhkan jaringan kerjasama komuniti serta menyokong usaha kerajaan dalam memperkasa pembangunan sosial dan kesejahteraan masyarakat.

Kerja-kerja gotong-royong tersebut melibatkan ahli-ahli MPM Ukong, penduduk kampung serta pihak-pihak berkaitan yang bersama-sama berganding bahu menjayakan projek berkenaan. Usaha seumpama ini juga mencerminkan komitmen berterusan MPM Ukong dalam melaksanakan aktiviti kemasyarakatan yang memberi manfaat secara langsung kepada penduduk setempat.

Sehubungan itu, majlis berkenaan diharapkan bukan sahaja dapat memupuk semangat kerjasama dan perpaduan dalam kalangan penduduk Mukim Ukong, malah menjadi satu amal jariah dan usaha murni yang diberkati Allah SWT. Semoga segala kerja-kerja yang dijalankan dipermudahkan, diberkati, dan memberi manfaat kepada semua pihak serta sentiasa mendapat rahmat dan lindungan-Nya.