Your Title Goes Here
TUTONG, Ahad, 18 Oktober 2026 – Perlawanan Akhir Bolasepak Empat Penjuru antara Daerah-Daerah anjuran Majlis Perundingan Kampung (MPK) Bukit Udal dan Penapar dengan kerjasama 60 Series Golden Members FC telah berlangsung di Padang Kompleks Sukan Tutong, di sini.
Hadir selaku Tetamu Kehormat pada acara berkenaan ialah Yang Mulia Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri, Pemangku Pegawai Daerah Tutong, yang seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang.
Perlawanan tersebut melibatkan lima buah pasukan yang mewakili keempat-empat daerah di Negara Brunei Darussalam, iaitu dua pasukan dari Daerah Brunei dan Muara serta masing-masing satu pasukan dari Daerah Tutong, Daerah Belait dan Daerah Temburong.
Pasukan Brunei dan Muara A muncul sebagai juara kejohanan dengan memperoleh 10 mata, sekali gus membawa pulang piala dan pingat. Naib juara disandang oleh Pasukan Daerah Tutong dengan kutipan 8 mata dan menerima pingat.
Sementara itu, Pasukan Daerah Temburong memperoleh 4 mata, diikuti Pasukan Brunei dan Muara B dengan 3 mata, manakala Pasukan Daerah Belait mengutip 1 mata.
Menariknya, kejohanan tersebut mengetengahkan penyertaan pemain-pemain veteran yang kebanyakannya berusia sekitar 58 hingga 60 tahun dan ke atas. Penyertaan golongan berkenaan memperlihatkan bahawa faktor usia bukan penghalang untuk terus bergiat aktif dalam bidang sukan dan riadah.
Selain menjadi platform untuk mempamerkan kemahiran dan pengalaman dalam sukan bolasepak, perlawanan tersebut turut memberi peluang kepada para pemain veteran untuk berkumpul dan beriadah bersama rakan-rakan dari daerah lain dalam suasana yang penuh kemesraan.
Penganjuran kejohanan berkenaan juga bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan persahabatan antara masyarakat dari keempat-empat daerah, di samping memupuk semangat kesukanan serta menggalakkan pengamalan gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan golongan veteran.
Kegiatan seumpama ini diharap akan terus menjadi wadah dalam memperkukuh hubungan kemasyarakatan dan memupuk semangat perpaduan melalui aktiviti sukan, di samping menggalakkan golongan veteran untuk terus melibatkan diri dalam kegiatan sukan dan riadah.
Acara berkenaan diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada pasukan-pasukan yang mengambil bahagian serta sesi bergambar bersama Tetamu Kehormat dan para peserta.