Your Title Goes Here
TUTONG, Ahad, 14 Jun 2026 – Majlis Perundingan Kampung (MPK) Panchor telah menganjurkan Pertandingan Tarik Kalat yang berlangsung di Kawasan Padang Pentas Diraja, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Tutong.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri, Pemangku Pegawai Daerah Tutong, yang seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan.
Sebanyak 10 buah pasukan telah mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut yang berjaya menarik penyertaan daripada peminat dan penggiat sukan tarik kalat dari pelbagai kawasan. Penganjuran pertandingan ini merupakan salah satu inisiatif MPK Panchor dalam memperkukuhkan pembangunan komuniti melalui aktiviti sukan dan rekreasi yang sihat serta berdaya saing.
Gelaran johan pertandingan telah disandang oleh Pasukan Bro Extreme JR yang berjaya membawa pulang piala berserta wang tunai berjumlah BND$400.00. Manakala gelaran Naib Johan pula dimenangi oleh Pasukan Bearhill Tuggers yang menerima piala dan wang tunai berjumlah BND$300.00. Sementara itu, tempat ketiga bersama menjadi milik Pasukan Seladang Bison dan Pasukan Budiman Tuggers, yang masing-masing menerima piala serta wang tunai berjumlah BND$200.00.
Pertandingan berkenaan bukan sahaja bertujuan memperkembangkan sukan tarik kalat di Daerah Tutong, malah berperanan sebagai platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara ahli MPK Panchor, komuniti setempat dan para penggiat sukan tersebut. Selain itu, acara ini juga menjadi medan persediaan bagi atlet-atlet tempatan untuk menyertai pertandingan yang lebih kompetitif di peringkat daerah, kebangsaan dan antarabangsa pada masa hadapan.
Penganjuran acara tersebut turut memberikan impak positif kepada aspek sosial, budaya dan ekonomi masyarakat setempat. Kehadiran peserta serta pengunjung telah membuka peluang kepada para penjaja dan peniaga tempatan untuk menjana pendapatan, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi mikro dalam kalangan penduduk kampung dan Daerah Tutong secara amnya.
Melalui penganjuran aktiviti seperti ini, MPK Panchor berharap dapat terus memupuk semangat perpaduan, kerjasama dan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat. Di samping itu, acara tersebut juga berupaya meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga kebersihan dan kesejahteraan persekitaran komuniti serta memperkukuhkan pembangunan masyarakat yang aktif, bersatu padu dan berdaya tahan.