gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

Your Title Goes Here

TUTONG, RABU, 29 APRIL 2026 – Program Jerayawara Sesi Pengenalan Baja Cecair Buatan Tempatan kini diteruskan dan diperluaskan lagi ke Daerah Tutong melalui kerjasama strategik bersama Jabatan Daerah Tutong, hari ini.

Inisiatif tersebut merupakan kesinambungan usaha dalam memperkenalkan inovasi pertanian tempatan kepada masyarakat di Negara Brunei Darussalam.

Antara yang hadir pada jerayawara bertempat di Rumah Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Tutong ialah ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung (MPMK), penghulu-penghulu dan ketua-ketua kampung Daerah Tutong.

Pengurus Am Agrodynamics International Brunei Sendirian Berhad, Awang Muhammad Izan Azwan bin Awang Yahya dalam ucapan alu-aluannya antaranya berkata, program berkenaan merupakan kesinambungan daripada usaha pihaknya untuk memperluaskan lagi pendedahan mengenai penggunaan baja cecair buatan tempatan, DynamicsGrow, sebagai salah satu solusi moden dalam meningkatkan produktiviti pertanian khususnya kepada masyarakat di Daerah Tutong.

Jelasnya lagi, tujuan utama jerayawara itu adalah bagi memberi pendedahan mengenai kepentingan penggunaan baja cecair yang lebih efisien, selamat, dan mesra alam dalam meningkatkan hasil serta kualiti tanaman.

“Dalam masa yang sama, kami juga ingin membuka ruang perbincangan dan kerjasama dengan komuniti setempat agar sektor pertanian tempatan dapat terus diperkasa dan dibangunkan secara mampan,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Awang Muhammad Izan Azwan turut mempercayai bahawa peranan MPMK amat penting dalam menyampaikan maklumat serta menggalakkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti pertanian.

Justeru itu, dengan adanya sokongan daripada pihak MPMK, pihak syarikat juga meyakini usaha ini akan memberikan impak positif kepada pembangunan sektor pertanian di negara ini.

Setelah itu, pengenalan produk DynamicsGrow disampaikan oleh Penyelaras Penjualan dan Pemasaran Kreatif, Awang Mohammad Safwan bin Puspa Wira, dan seterusnya demonstrasi penggunaan baja cecair daripada Penyelia Ladang, Awang Muhammad Sazrin Addyfaid bin Abdul Aziz; dan Juruteknik Makmal, Dayang Nurkhairah Muti’ah binti Kambrin.

Program ini turut disertai oleh Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Brunei, selaku rakan strategik syarikat, yang sudi hadir serta memberikan sokongan dalam menjayakan jerayawara berkenaan.

Menerusi program ini, ia sememangnya memberi ruang interaksi secara langsung antara pihak syarikat dan komuniti setempat bagi berkongsi pengetahuan, pengalaman serta potensi kerjasama dalam memajukan sektor pertanian.

Selain itu, inisiatif tersebut juga diharap dapat menyokong usaha kerajaan dalam memperkasa sektor pertanian tempatan, seterusnya meningkatkan hasil dan kualiti tanaman ke arah pertanian yang lebih mampan dan berdaya saing.

Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan dalam memperluaskan penggunaan produk buatan tempatan serta memperkukuh jaringan kerjasama antara pihak industri dan komuniti.