Your Title Goes Here
TUTONG, Khamis 3 September 2026 – Bagi memperingati kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menzahirkan rasa cinta, kasih dan penghargaan terhadap perjuangan Baginda di samping mendedahkan ajaran agama Islam, Cawangan Da’wah Daerah Tutong (PDI),Kementerian Hal Ehwal Ugama menganjurkan Majlis Malam Mencintai Rasul sempena Maulud Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bagi Tahun 1448H/2026M di Dewan Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Tutong.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Mulia Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri, Pemangku Pegawai Daerah Tutong.
Majlis berkenaan diadakan bersama para mualaf dan masyarakat bukan Islam.
Majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardhu Maghrib Berjemaah,diikuti bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat majlis.
Acara diteruskan dengan tazkirah yang bertajuk ‘Tak Kenal Maka Tak Cinta’ yang disampaikan oleh Penolong Pegawai Perkembangan Ugama, Cawangan Da’wah Daerah Tutong, Yang Mulia Awang Muhammad Salihan bin Haji Samra.
Majlis bekenaan turut dihasratkan untuk mengukuhkan hubungan harmoni antara masyarakat Muslim dan bukan Islam, serta menyemai rasa cinta kepada Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, dalam kalangan para mualaf agar dapat menghayati dan mengamalkan sunnah Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dalam kehidupan seharian.