gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

Your Title Goes Here

TUTONG, SELASA, 27 JANUARI 2026 – Sebagai sebahagian daripada aktiviti Hearts and Minds di bawah Eksesais SEMANGAT WAJA (XSW) 08/2026, Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) telah mengadakan Majlis Penyerahan Projek Jambatan Kayu, yang berlangsung di Jalan Sebatang Sentol, Kampong Luagan Dudok, Daerah Tutong.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Yang Mulia Kolonel Mohammad Fakarudin Zuraidie bin Haji Ramli, Pemerintah Medan TDDB. Turut hadir ialah Awangku Arif Anuar bin Pengiran Haji Ahmad,nPemangku Pegawai Daerah Tutong, Penghulu Mukim Keriam, Ketua Kampong Luagan Dudok, wakil Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, dan Pegawai Pemerintah Batalion Kedua (2Bn) TDDB.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan penyerahan projek kepada Pemangku Pegawai Daerah Tutong dan Yang Mulia Awang Ludin bin Haji Besar, yang kediamannya terjejas akibat banjir sehingga memusnahkan jambatan laluan utama. Kejadian tersebut telah menyebabkan laluan berkenaan tidak selamat, sekaligus menghadkan pergerakan harian serta menjejaskan akses kepada keperluan asas. Majlis diakhiri dengan tinjauan ke tapak projek dan sesi bergambar ramai.

Keadaan hujan lebat berterusan akibat monsun aktif telah menyebabkan kejadian banjir kilat di beberapa kawasan di seluruh negara. Susulan itu, TDDB telah menghulurkan Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) di Daerah Tutong dengan mengaturgerakan Platun Rintis Serang daripada 2Bn TDDB. Bantuan tersebut merangkumi kerja pembersihan sisa struktur jambatan yang rosak dan perlaksanakan kerja kejuruteraan bagi membina jambatan baharu yang lebih kukuh dan selamat, dengan bahan binaan disediakan oleh Angkatan Bersenjata Diraja Brunei  dengan kerjasama Pejabat Daerah Tutong.

Pengendalian Projek Hearts and Minds ini, yang berlangsung dari 21 hingga 26 Januari 2026, merupakan antara inisiatif TDDB untuk mengeratkan hubungan dengan masyarakat setempat, di samping mendokong kesejahteraan sosial melalui aktiviti kebajikan.  Inisiatif ini turut mencerminkan komitmen berterusan ABDB dalam menyumbang secara positif ke arah pengukuhan perpaduan dan pembangunan negara.