Your Title Goes Here
TUTONG, AHAD, 12 April 2026 – Bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Bukit Udal dan Penapar Tutong hari ini telah menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi Kampung Bukit Udal dan Kampung Penapar yang berlangsung di Dewan Sekolah Rendah Bukit Udal, Tutong.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri.
Juga hadir, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya’akub, juga Penghulu Mukim Ukong, Daerah Tutong.
Ketua Kampung Bukit Udal dan Penapar, Awang Haji Masri bin Haji Abdullah dalam ucapan alu-aluannya antara lain mengongsikan bahawa acara bertujuan untuk memperkukuh silaturahim, memupuk perpaduan serta mengeratkan lagi hubungan sesama masyarakat kampung.
Di samping itu katanya lagi, ia juga merupakan salah satu usaha berterusan dalam menyatukan penduduk kampung tanpa mengira latar belakang, agar sentiasa hidup dalam suasana harmoni, saling bantu-membantu dan bekerjasama dalam memajukan kampung tercinta.
Majlis turut diserikan lagi dengan persembahan nyanyian lagu Hari Raya oleh Ahli-ahli MPK Bukit Udal dan Penapar Tutong dan sesi bergambar ramai sambil beramah mesra sesama penduduk.