gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

Your Title Goes Here

TUTONG, Isnin, 14 September 2026 – Sesi Muzakarah bersama Pegawai Daerah Tutong, Penghulu Mukim dan Ketua Kampung Daerah Tutong bersama Jabatan Perkhidmatan Elektrik telah diadakan di Dewan Kemasyarakatan RPN Bukit Beruang, di sini.

Hadir di sesi tersebut ialah Yang Mulia Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri, Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Penghulu Mukim dan Ketua Kampung Daerah Tutong serta pegawai dan kakitangan Jabatan Perkhidmatan Elektrik.

Sesi muzakarah berkenaan diadakan bagi mendapatkan penerangan dan perkembangan terkini mengenai kerja-kerja yang sedang giat dilaksanakan, di samping mengetahui perancangan kerja-kerja yang akan dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Elektrik di Daerah Tutong.

Perbincangan turut memberi peluang kepada para Penghulu Mukim dan Ketua Kampung untuk mengemukakan perkara-perkara yang berkaitan dengan keperluan serta perkhidmatan elektrik di kawasan masing-masing, termasuk isu-isu yang dihadapi oleh penduduk dan perkara-perkara yang memerlukan perhatian serta tindakan lanjut.

Sesi berkenaan juga merupakan salah satu platform bagi memperkukuh kerjasama dan penyelarasan antara Jabatan Daerah Tutong dengan Jabatan Perkhidmatan Elektrik, khususnya dalam memastikan penyampaian maklumat berkaitan perkhidmatan elektrik dapat disalurkan dengan lebih berkesan kepada pihak mukim dan kampung.

Kerjasama berterusan antara agensi kerajaan, Penghulu Mukim dan Ketua Kampung adalah penting dalam mengenal pasti keperluan serta menangani isu-isu yang berkaitan dengan kemudahan asas dan perkhidmatan awam, demi memastikan kesejahteraan dan kepentingan penduduk di Daerah Tutong sentiasa diberi perhatian.