Your Title Goes Here
TUTONG, Rabu, 8 April 2026 – Sekumpulan pelajar dan pensyarah dari Universiti Brunei Darussalam dan Universiti Teknologi Brunei telah mengadakan lawatan tapak pendidikan ke Bukit Ambog, Panchor Papan.
Lawatan itu melibatkan seramai 32 orang peserta dan bertujuan untuk memberikan pendedahan secara praktikal kepada salah satu tapak fosil yang mempunyai kepentingan geologi di negara ini.
Bukit Ambog dikenali sebagai lokasi yang kaya dengan kandungan fosil, di mana dapatan kajian geologi menunjukkan bahawa kawasan tersebut pernah berada di bawah permukaan laut dianggarkan sekitar 7 hingga 11 juta tahun yang lalu. Penemuan pelbagai fosil hidupan marin di kawasan ini telah memberikan gambaran yang signifikan mengenai keadaan persekitaran prasejarah yang pernah wujud.
Sepanjang lawatan berkenaan, para peserta telah diberikan taklimat terperinci mengenai proses pembentukan fosil, perubahan alam sekitar serta kepentingan kajian geologi dalam memahami sejarah pembentukan bumi. Lawatan ini turut berperanan sebagai platform pembelajaran lapangan yang berkesan dalam memperkukuh kefahaman akademik para peserta.
Inisiatif sedemikian diharap akan terus diperkasakan dalam usaha menyokong perkembangan pendidikan tinggi, di samping meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan warisan semula jadi serta sejarah negara untuk generasi akan datang.