gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

Your Title Goes Here

TUTONG, Rabu, 1 Julai. – Upacara Pengibaran Bendera Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-80 bagi Daerah Tutong Tahun 2026 berlangsung di Kawasan Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa yang dipimpin oleh Ketua Imam Masjid Kampung Tanjong Maya, Awang Mohd. Latif bin Zaini.

Rombongan pembawa Bendera Negara diketuai oleh Pemangku Penolong Pegawai Daerah Tutong, Awang Mohammad Adi Asnawi bin Haji Awang Adanan, dengan diiringi seramai 80 anggota Pasukan Serunai dan Tambur Jabatan Penjara, Kadet Tentera Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Pasukan Kadet Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Pasukan Kadet Bomba dan Penyelamat, Pasukan Pandu Puteri serta Pasukan Bulan Sabit Merah.

Bendera negara kemudiannya diserahkan kepada Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri, sebelum disampaikan kepada tetamu kehormat majlis, Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Dayang Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak.

Majlis diteruskan dengan penyerahan Bendera Besar Negara Brunei Darussalam oleh tetamu kehormat kepada PPDB bagi upacara penaikan dan pengibaran bendera.

Suasana majlis turut disemarakkan dengan nyanyian lagu Bendera Negara oleh Kumpulan Koir Wira Bangsa bersama para penuntut Sekolah Menengah Tanjong Maya, Tutong.

Seterusnya, tetamu kehormat menyempurnakan penyerahan Bendera Negara Brunei Darussalam kepada penghulu-penghulu mukim dan pemangku penghulu-penghulu mukim di Daerah Tutong.

Turut hadir ialah Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, para jemputan khas, ketua-ketua jabatan dan cawangan kerajaan di Daerah Tutong, penghulu-penghulu mukim, pemangku penghulu-penghulu mukim, ketua-ketua kampung serta pemangku ketua-ketua kampung Daerah Tutong.

Pengibaran Bendera Besar Negara Brunei Darussalam menandakan bermulanya tempoh pengibaran bendera peribadi bagi Pengiran-Pengiran dan penerima gelaran, serta Bendera Negara Brunei Darussalam di kediaman orang ramai, bangunan kerajaan dan premis perniagaan di seluruh negara sehingga 8 Ogos 2026 bersempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-80.